Kehadiran penceramah terkenal dari Indonesia, Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad (UAS) ke Kelantan ternyata mendapat sambutan luar biasa apabila ribuan rakyat hadir memanfaatkan majlis ilmu yang berlangsung selama dua hari di tiga daerah berbeza.
Setiap lokasi yang dikunjungi UAS dilihat dipenuhi jemaah yang datang dari pelbagai lapisan umur, sekali gus menggambarkan kecintaan masyarakat Kelantan terhadap program dakwah dan pengisian rohani.
Pidato Perdana Da’i Nusantara Di Pantai Sri Tujuh
Program Pidato Perdana Da’i Nusantara menampilkan UAS berlangsung pada 14 Mei 2026 bertempat di Pantai Sri Tujuh, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Ribuan hadir mendengar pengisian ilmu dari UAS di Pantai Sri Tujuh
Pidato Perdana Da’i Nusantara 2026 di Pantai Sri Tujuh menampilkan UAS
Majlis itu berlangsung dari jam 7.00 malam hingga 11.30 malam dan menjadi tumpuan ramai apabila ribuan jemaah hadir bagi mendengar ceramah serta pengisian rohani yang disampaikan.
Kuliah Dhuha Perdana Di Masjid Beijing Rantau Panjang
Sambutan hangat diteruskan pada hari berikutnya apabila UAS mengisi Kuliah Dhuha Perdana pada Jumaat, 15 Mei 2026 di Masjid Beijing, Rantau Panjang, Pasir Mas.
Kuliah Dhuha disampaikan UAS
Skrin gergasi diletakkan di luar masjid
Jemaah melimpah hingga ke kaki lima di Masjid Beijing
Masjid ikonik yang sering menjadi tarikan pelancong itu turut menjadi lokasi tumpuan jemaah untuk mendengar kuliah secara langsung daripada pendakwah terkenal tersebut.
Solat Jumaat Dan Kuliah Jumaat Perdana Di Pasir Puteh
Pada hari sama, UAS turut hadir bagi Solat Jumaat dan Kuliah Jumaat Perdana di Masjid Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh.
Hadirin mendengar kuliah perdana oleh UAS
UAS menyampaikan kuliah jumaat perdana
Kehadiran beliau di lokasi ketiga itu sekali lagi menyaksikan ribuan orang memenuhi kawasan masjid bagi mengikuti program keagamaan yang dianjurkan.
Sambutan Luar Biasa Bukti Kelantan Subur Dengan Majlis Ilmu
Sambutan luar biasa sepanjang dua hari itu jelas membuktikan budaya majlis ilmu masih subur dalam kalangan rakyat Kelantan.
Kehadiran ribuan jemaah di setiap lokasi bukan sahaja menggambarkan minat tinggi masyarakat terhadap dakwah, malah menjadi isyarat bahawa program berunsur kerohanian terus mendapat tempat di hati rakyat negeri ini.
SHARE:
