[VIDEO] Ibu Ayah Tertuduh Tengok Anak Basuh Kereta Dari Tengah Malam Sampai Ke Pagi

Tragedi kematian seorang mahasiswi yang ditemukan tidak bernyawa di atas jalan Kampung Simah, Ketereh, terus mengundang perhatian ramai apabila laporan eksklusif program 999 di saluran TV3 menyingkap kronologi awal kejadian berdasarkan siasatan pihak polis.

Menurut laporan wartawan Areesha Khalim, Balai Polis Ketereh menerima panggilan daripada orang awam pada 1 Mei, kira-kira jam 12.30 tengah malam, memaklumkan penemuan mayat seorang wanita di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohamad Yusoff Mamat mengesahkan bahawa pihaknya telah melengkapkan keseluruhan kertas siasatan, namun hanya suspek utama didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Keluar Dengan Dua Lelaki Pada Hari Sama

Menurut Mohamad Yusoff, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar bersama seorang lelaki pada waktu tengah hari selepas dijemput sekitar jam 12 lebih.

Mangsa kemudian dibawa membeli nasi bungkus ayam gepuk sebelum dihantar pulang kira-kira jam 1 tengah hari.

Katanya, suspek pertama itu menggunakan kenderaan jenis Honda City berwarna hitam.

Namun pada sebelah malam, mangsa dipercayai keluar pula bersama seorang lelaki lain yang menaiki kereta jenis Bezza berwarna putih.

Menurut beliau, mangsa sempat berkongsi dalam status media sosial bahawa mereka makan di Wakaf Bharu sebelum perjalanan pulang dipercayai berlaku pergaduhan yang membawa kepada pembunuhan.

“Bahkan di dalam perjalanan tulah mungkin berlaku pergaduhan dan sebagainya yang menyebabkan suspek marah dan seterusnya berlakulah kes pembunuhan tadi,” katanya.

Kenalan Baru Sehari, Disyaki Bertindak Dalam Keadaan Emosi

Mohamad Yusoff turut memaklumkan tertuduh dan mangsa dipercayai baru berkenalan sehari melalui aplikasi rangkaian sosial sebelum bertemu untuk makan malam.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan punca sebenar akan dimaklumkan pada hari pertuduhan.

Bagaimanapun, polis percaya tindakan tertuduh mungkin berpunca daripada ketakutan dan kemarahan melampau sehingga emosi terganggu.

Menurutnya, pembunuhan itu dipercayai berlaku secara tidak terancang apabila tertuduh disyaki berasa terancam lalu bertindak di luar kawalan.

Disyaki Singgah Ambil Pisau, Mangsa Terjatuh Dari Kereta

Berdasarkan siasatan awal, tertuduh dipercayai sempat singgah ke rumahnya untuk mengambil pisau sebelum insiden berlaku di dalam kereta ketika perjalanan pulang.

Difahamkan jarak dari rumah tertuduh ke lokasi mayat mangsa ditemui dianggarkan sekitar 5 kilometer.

Pada malam kejadian, mangsa dipercayai membuka pintu kereta sendiri sebelum terjatuh, dipercayai cuba menyelamatkan diri.

Namun akibat kecederaan parah, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Suspek juga dikatakan bergegas meninggalkan mangsa selepas terlihat cahaya kenderaan lain menghampiri.

Barangan Mangsa Ditemui Di Tali Air, Ibu Bapa Suspek Turut Ditahan

Polis turut mendedahkan tertuduh yang berusia 19 tahun dipercayai sempat berhenti di kawasan tali air berdekatan rumahnya, dipercayai untuk menghapuskan bukti.

Hasil siasatan membawa kepada penemuan beberapa barangan peribadi dipercayai milik mangsa yang disyaki dicampakkan di sekitar kawasan itu.

Dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian, polis berjaya menahan remaja terbabit bersama ibu bapanya yang berusia 60 dan 66 tahun, selepas disyaki bersubahat melindungi tertuduh.

Ketua Polis Kelantan mendakwa ibu bapa tertuduh tidak memberikan kerjasama ketika serbuan dilakukan walaupun mengetahui anak mereka membersihkan kenderaan beberapa kali dari tengah malam sampai pagi.

Polis turut merampas sebilah pisau, telefon bimbit serta kereta jenis Bezza putih yang digunakan suspek untuk pemeriksaan forensik.

Seorang lagi suspek berusia 23 tahun yang dipercayai keluar bersama mangsa pada tengah hari turut ditahan bagi membantu siasatan, namun kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Ibu bapa tertuduh turut dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama tiga hari bermula 2 Mei.

Mangsa Pelajar Semester Tiga KPTM

Mangsa dikenali sebagai Nurfisya Zulkifly, 19, mahasiswi semester tiga jurusan pendidikan awal kanak-kanak di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).

Tertuduh pula merupakan pelajar di sebuah kolej vokasional di Kuala Krai dan dikatakan tidak berada di bawah pengaruh dadah, tidak mengalami masalah mental serta tiada rekod jenayah lampau melibatkan keganasan.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun serta tidak melebihi 40 tahun.



Sumber: TV3

SHARE:

TERKINI

Dua Wanita Direman, Disyaki Kurung Rakan, Seksa, Samun Dan Dipaksa Berbogel Di Johor
|
Dua wanita termasuk seorang suri rumah direman enam hari…
Pengasuh Didakwa Bunuh Bayi Tujuh Bulan Di Sebuah Taska
|
Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari…
Wakil Rakyat Tular Bermain ‘Game’ Dan Merokok Ketika Mesyuarat Berkaitan Kesihatan
|
Nama Ahmad Syahri Assidiqi kini menjadi perhatian warga Indonesia…
Amir Raja Lawak Tak Malu Jual Besi Buruk, Tegur Sikap Suka Minta Bantuan Tanpa Berusaha
|
Pelawak Amir Raja Lawak menegur sikap segelintir individu yang…
[VIDEO] Ibu Ayah Tertuduh Tengok Anak Basuh Kereta Dari Tengah Malam Sampai Ke Pagi
|
Tragedi kematian seorang mahasiswi yang ditemukan tidak bernyawa di…
Harga Makanan Dijangka Naik Separuh Kedua Tahun Ini – Mohamad Sabu
|
Kerajaan menjangkakan harga makanan akan meningkat pada separuh kedua…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!