Dua wanita termasuk seorang suri rumah direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini kerana disyaki bersubahat mengurung rakan sendiri sebelum mangsa disamun, dicucuh dengan pemetik api dan dipaksa berbogel, semalam.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 29 dan 46 tahun dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman bermula hari ini sehingga Selasa depan.
Reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (saman), Seksyen 342 (pengurungan salah), Seksyen 324 (mendatangkan kecederaan) serta Seksyen 509 kerana mengaibkan kehormatan seseorang.
Menurut laporan, mangsa berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai menerima panggilan daripada salah seorang suspek yang meminta mangsa datang ke sebuah rumah di Taman Banang Heights, Batu Pahat pada jam 7 pagi semalam.
Sebaik tiba di rumah itu, mangsa mendapati terdapat tiga lelaki tidak dikenali turut berada di dalam rumah berkenaan.
Salah seorang suspek wanita kemudian bertindak menahan mangsa dan tidak membenarkannya keluar dari rumah.
Seorang suspek lelaki didakwa memukul serta membakar pergelangan kaki mangsa menggunakan pemetik api. Mangsa turut dipaksa menanggalkan semua pakaian sebelum salah seorang suspek merakam gambar dalam keadaan bogel.
Mangsa turut diugut akan dicederakan menggunakan pisau sekiranya enggan menyerahkan kad bank.
Dalam keadaan ketakutan, mangsa menyerahkan kad terbabit sebelum suspek mengeluarkan wang berjumlah RM4,200 serta merampas telefon bimbit milik mangsa.
Bertindak atas laporan polis, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas/Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan kedua-dua suspek malam tadi.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila rakan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana mengesyaki mangsa menipu mereka dalam urusan pembelian dadah.
Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan disahkan mengalami kecederaan pada pergelangan kaki serta muka.
Polis kini giat mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia 30-an yang disyaki menjadi dalang utama kejadian tersebut.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
