Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan sumbangan kepada lapan persatuan bukan Islam dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Exco, Mabna Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Mohamad, melibatkan bantuan antara RM3,000 hingga RM10,000 bagi setiap persatuan.
Antara badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima sumbangan tersebut ialah Persatuan Ching Kang Kelantan, Persatuan Yitlan Gua Musang, Persatuan Siam Kelantan, Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Tin Hing Kong Building Fund, Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Persatuan Hainan Kelantan dan Pertubuhan Penganut Sri Maha Kaliaman Ayalam.
Menurut YB Zamakhshari, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan kerajaan negeri di bawah agenda perpaduan masyarakat bagi membantu pelbagai persatuan selain Melayu.
Katanya, bantuan tersebut bertujuan menyediakan kemudahan dan meningkatkan keceriaan di rumah ibadah seperti pembinaan pagar, penyediaan bilik air serta kerja penyelenggaraan pejabat persatuan, selain pelaksanaan program pemimpin bersama rakyat.
“Sumbangan ini sebagai tanda kebersamaan kerajaan negeri dalam isu yang melibatkan pelbagai kaum.
“Ia membuktikan kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menindas kaum lain serta tidak menghalang mereka untuk menjalankan aktiviti seperti yang didakwa pihak tertentu,” jelasnya.
Tambah beliau, masyarakat bukan Islam di Kelantan bukan sahaja bebas menjalankan aktiviti yang tidak menyalahi undang-undang, malah turut menerima bantuan daripada kerajaan negeri.
“Segala tohmahan yang mengatakan masyarakat bukan Islam di Kelantan ditindas adalah tidak benar.
“Saya juga meminta kerjasama semua pihak untuk menyebarluaskan kepada rakan persatuan di negeri lain bahawa kerajaan negeri Kelantan tidak menindas masyarakat bukan Islam, bahkan memberi bantuan demi mengekalkan keamanan dan kebersamaan di Kelantan,” katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai model perpaduan yang menunjukkan hubungan harmoni antara kaum.
“Semoga selepas ini hubungan antara kerajaan dengan pelbagai komuniti akan menjadi lebih rapat dan saling memahami antara satu sama lain serta dapat terus bekerjasama untuk memajukan Kelantan,” ujarnya.
Sumber: inforakyatkelantan.my
SHARE:
