Seorang pekerja stesen minyak meninggal dunia selepas dipercayai mengalami sesak nafas sebaik sahaja tiba di puncak Bukit Gunong, Bachok pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Yusof Hamat, 41, berasal dari Kampung Bechah Keranji, Peringat, Kota Bharu dipercayai mendaki bukit berkenaan seorang diri.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Pegawai Bomba Kanan I Ibrahim Mohd Rohni berkata, mangsa dipercayai mengalami sesak nafas sebaik tiba di puncak bukit tersebut.
Doktor HRPZ II Beri Bantuan Awal
Menurut Ibrahim, ketika kejadian terdapat seorang doktor dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang secara kebetulan turut mendaki bersama ahli keluarganya di lokasi sama.
Katanya, doktor terbabit memberikan bantuan kecemasan awal kepada mangsa sebelum menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan lanjut.
“Doktor terbabit telah memberikan bantuan kecemasan awal kepada mangsa sebelum menghubungi pasukan penyelamat,” katanya ketika dihubungi.
Bomba Terima Panggilan Jam 8.45 Pagi
Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Ujarnya, anggota membawa sebuah unit pengusung dan tali webbing ke lokasi pendakian yang berada pada ketinggian kira-kira 317 meter dari aras laut.
Bagaimanapun, sebaik tiba di puncak, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudian dibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 10.53 pagi.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
