Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah rumah yang berkunci berhampiran stesen minyak di Batu 6, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Mariam Mat Saman, 83, ditemui selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai seorang individu yang berada di dalam rumah berkunci.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Wan Asri Wan Mohamood berkata, pihaknya menerima panggilan melalui talian NG999 pada jam 2.46 petang.
Susulan itu, seramai tujuh anggota dari BBP Tunjong dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Pasukan bomba kemudian membuka pintu rumah yang berkunci itu dan menemui seorang wanita warga emas berada dalam keadaan tidak sedarkan diri."
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital, dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut."
Punca kejadian masih belum dimaklumkan dan kes kini berada di bawah siasatan pihak polis.
Sumber: Berita Harian
