Penyanyi kumpulan rock terkenal Bumiputra Rockers (BPR), Joey meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi Sabtu.
Allahyarham yang berusia 63 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.11 pagi selepas rebah ketika membuat persembahan di Laman Santai, Istana Budaya, sehari sebelumnya.
Menurut laporan Harian Metro, berita pemergian Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi disampaikan oleh isterinya, Zarinah Zainal.
“Assalamualaikum w.b.t. Saya, isteri kepada Johari Mat Rozekhi (Joey BPR) ingin memberitahu bahawa Johari telah kembali ke rahmatullah pada 29 Ogos 2026, 8.11 pagi di hospital HKL sebentar tadi.
“Sama sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah...,” katanya menerusi mesej WhatsApp.
Zarinah berkata, Joey sempat menyampaikan dua buah lagu sebelum rebah dan dikejarkan ke HKL dengan ambulans.
“Sampai di hospital doktor sahkan ada pendarahan. Dia juga ada komplikasi jantung tersumbat.
“Benda berlaku terlalu cepat. Joey sangat baik orangnya. Saya bertuah dapat dia.
“Harap sedekahkan al-Fatihah buatnya,” katanya.
Kelihatan tidak stabil di atas pentas
Penyanyi rock era 1990-an, Nizam Laksamana turut berkongsi detik cemas ketika melihat Joey rebah semasa membuat persembahan.
Nizam atau nama sebenarnya Mohd Nizam Pechok, 59, berkata Allahyarham kelihatan tidak stabil sebelum jatuh terlentang di atas pentas. Bagaimanapun, Joey bangun dan meneruskan persembahannya.
“Bila dia buat persembahan, saya nampak dia macam tak berapa stabil berdiri dan bergoyang ke belakang sikit. Sampai satu masa, dia terjatuh dan terlentang ke belakang di atas pentas.
“Dia (arwah Joey) terperanjat, kemudian bangun dan tetap meneruskan persembahan. Arwah ada minta air dan saya ada bagi air kepada dia,” katanya kepada Harian Metro.
Apabila menyedari keadaan fizikal Joey semakin merosot, Nizam menawarkan kerusi dan menyarankan supaya beliau dibawa segera ke hospital.
“Saya ada tanya, ‘Joey okey tak? Dia kata okey.’ Saya cakap, kalau ada kerusi kita ambil kerusi duduk dan dia setuju. Tetapi bila duduk, dia makin berpeluh. Saya cakap ini tak boleh jadi, kena pergi hospital.
“Waktu itu memang ada ambulans. Bila turun ke bawah pentas, kita bagi dia duduk dan kipaskan dia.
“Isteri dia datang, jadi saya tanya sama ada Joey ada makan apa-apa ubat. Isterinya kata ada, ubat yang diletakkan di bawah lidah. Dari situ saya dah tahu, kalau ubat bawah lidah memang berkaitan jantung.
“Saya terus beritahu pegawai perubatan kena bawa segera Joey ke hospital, tak boleh dibiarkan sebelum dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Tidak lagi mampu bersuara
Nizam berkata, keadaan Joey di bawah pentas ketika itu semakin membimbangkan apabila Allahyarham sudah tidak mampu bercakap.
“Masa di bawah pentas, memang nampak dia dah tak boleh bercakap. Muka berpeluh, dia diam dan cuma hembus nafas perlahan. Selepas itu, pagi ini dapat berita dia sudah tiada,” katanya.
Beliau sempat berbual dan bergurau dengan Joey ketika mereka menghadiri sesi latihan serta pemeriksaan bunyi pada Khamis.
“Sehari sebelum (kejadian), kita ada ‘sound check’ bersama. Dia dulu buat ‘sound check’, lepas itu baru saya. Jadi kami berbual macam biasa, gelak-gelak semua.
“Malam tadi sebelum giliran dia, saya dekat tepi pentas ada ambil gambar bersama dan berbual dengan dia. Sampailah giliran dia untuk menyanyi, saya tetap berada di tepi pentas.
“Arwah antara penyanyi legenda yang mempunyai lagu-lagu hebat, jadi kita sama-sama ‘sing along’ semasa dia buat persembahan,” katanya.
Dikenang sebagai seorang yang mesra
Mengimbas kenangan bersama, Nizam berkata beliau sudah lama mengenali Allahyarham dan mereka sering membuat persembahan bersama serta bertemu dalam program persatuan atau di kedai.
Lagu-lagu BPR juga pernah menjadi rujukan Nizam sebelum beliau bergelar penyanyi profesional.
“Walaupun saya dan arwah tak rapat sangat, tetapi kami selalu buat persembahan dan berbual. Keperibadian dia seorang yang sangat mesra dengan sesiapa sahaja.
“Dia banyak pengalaman dan kalau bercerita atau mengupas sesuatu di media sosial, dia akan bercakap berdasarkan fakta dan cerita benar.
“Sebelum buat persembahan biasanya dia suka tidur dan relaks dulu dan tengok orang lain ‘perform’ dulu. Satu perkara tentang arwah, mana-mana dia pergi buat persembahan, isteri dia mesti akan ada bersama,” katanya.
Sumber: Harian Metro
