Harumanis Bachok Mula ‘Mengharum’, Pesara Jana Ekonomi Baharu

Ketika ramai memilih berehat selepas bersara, sekumpulan pesara di Kuala Rekang, Melawi memilih jalan berbeza apabila menghidupkan semula tanah terbiar melalui tanaman mangga Harumanis yang kini semakin mendapat tempat di Bachok.

Mangga premium yang sebelum ini sinonim dengan Perlis itu kini perlahan-lahan mencipta ‘rumah’ baharu di bumi Kelantan, sekali gus membuka peluang rezeki dan mengeratkan hubungan komuniti setempat.

Apa yang bermula sebagai perbualan santai di wakaf kampung, kini berkembang menjadi projek pertanian berkelompok yang memberi makna baharu kepada kehidupan selepas persaraan.

Ketua pengusaha tanaman Harumanis, Mohd Rudzuan Jusoh, 53, berkata inisiatif tersebut tercetus pada penghujung 2019 hasil perbincangan bersama rakan sekampung selepas solat Isyak, sebelum berkembang melibatkan lebih 40 peserta.

“Cadangan ini mendapat sambutan kerana peserta mahu memanfaatkan tanah bekas tanaman tembakau yang terbiar, selain menjana pendapatan baharu melalui pertanian bernilai tinggi.

“Kami membeli benih dari Perlis menggunakan kos sendiri dan mengusahakannya secara berperingkat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, kini lebih 3,000 pokok Harumanis diusahakan di kawasan tersebut, dengan kebanyakan peserta terdiri daripada pesara kakitangan awam termasuk guru yang mempunyai masa, minat serta modal untuk menceburi bidang pertanian selepas tamat perkhidmatan.

Beliau berkata, faktor geografi Bachok yang berhampiran pantai dengan cuaca panas berpanjangan serta sumber air mencukupi menjadikan kawasan itu sesuai untuk tanaman Harumanis.

Selain itu, tanah beris bekas tanaman tembakau juga disifatkan subur dan mampu menyokong pertumbuhan pokok berkenaan.

“Maklum balas pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur menunjukkan rasa dan aroma Harumanis Bachok setanding dengan hasil dari Perlis. Kami juga menawarkan buah masak kuning atau hijau mengikut permintaan,” katanya.

Mohd Rudzuan berkata, pokok Harumanis lazimnya mula berbuah dalam tempoh tiga hingga lima tahun, dan bagi musim Mei ini hasil tuaian dianggarkan mencecah tiga tan, antara yang terbaik setakat ini.

Beliau berkata, jualan bermula 16 Mei dengan harga RM100 bagi tiga kilogram gred premium, RM100 untuk empat kilogram gred A, manakala pembelian terus di ladang ditawarkan lima kilogram pada harga sama tanpa penggredan.

Pelanggan turut diberi peluang memetik sendiri buah di ladang.

Sementara itu, pesara guru, Rasidi Teh, 63, berkata kejayaan projek itu membuktikan golongan pesara masih mampu kekal aktif dan menjana pendapatan, selain mengeratkan hubungan komuniti setempat.

“Daripada tanah terbiar, kini jadi sumber rezeki bersama. Kami berharap Kuala Rekang dapat muncul sebagai hab baharu Harumanis di Kelantan,” katanya.

Beliau turut menghargai sokongan kerajaan negeri yang membantu peserta melalui kursus serta geran bagi memperluaskan tanaman.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Rogol Anak Tiri Sejak Tingkatan Dua, Jurukimpal Dihukum 33 Tahun Penjara Dan 32 Sebatan
|
Seorang bapa tiri dihukum penjara 33 tahun dan 32…
Harumanis Bachok Mula ‘Mengharum’, Pesara Jana Ekonomi Baharu
|
Ketika ramai memilih berehat selepas bersara, sekumpulan pesara di…
“Saya Sudah Maafkan Pakcik Itu…” – Bapa Nur Aini Umairah
|
“Untuk pakcik yang melanggar anak saya, saya sudah memaafkannya.”…
Eda Ezrin Selamat Bersalin Anak Ketiga, Timang Bayi Perempuan
|
Penyanyi lagu dialek Kelantan, Eda Ezrin, selamat melahirkan anak…
[VIDEO] Jemaah Subuh Terkejut, Pesara Tentera Meninggal Dunia Ketika Sujud Di Tanah Merah
|
Jemaah solat subuh di Masjid As-Syakirin Mukim Kelewek, Tanah…
“Saya Hanya Terlewat Beberapa Minit…” – Ibu Murid Maut Dilanggar Van Depan Sekolah
|
“Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!