Seorang pemandu peribadi dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen atau kegiatan along terhadap tiga individu di hadapan sebuah kopitiam pada tahun lalu.
Tertuduh, Yeap Chen Siang, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid dan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.
Di hadapan Rais Imran, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki dan seorang wanita di tepi jalan berhadapan sebuah kopitiam di Jalan Pendek pada 20 April, 19 Jun dan 11 Ogos 2025.
Sementara itu, di hadapan Wan Mohd I’zzat, dia turut berdepan tiga lagi pertuduhan sama membabitkan seorang wanita yang sama serta seorang lelaki lain di lokasi dan tahun yang sama pada 13 Mac, 20 Mei dan 13 Ogos 2025.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Nadzir Abdullah dan Ahmad Nabil Mohamed Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Taufikrullah Rusli.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jumlah dikurangkan atas alasan tertuduh baru kehilangan bapa dan hanya tinggal bersama ibunya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi kes di hadapan Rais Imran dan RM8,500 bagi kes di hadapan Wan Mohd I’zzat. Mahkamah turut menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh telah membayar semua jaminan yang ditetapkan.
Sumber: Kosmo
SHARE:
