Saifuddin Dedah 5 Daerah Catat Penyalahgunaan Dadah Tertinggi Dalam Negara

Penyalahgunaan dadah sintetik kini menjadi ancaman terbesar negara apabila hampir 70 peratus daripada keseluruhan kes penagihan dadah yang direkodkan melibatkan bahan tersebut, dengan negeri-negeri Pantai Timur dikenal pasti antara kawasan paling terjejas.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 145,526 kes penyalahgunaan dadah sintetik direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 192,857 kes pada 2024.

Menurut beliau, sebanyak 141,817 kes lagi direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Di negeri-negeri Pantai Timur, ganja, heroin, ketum dan morfin bukan lagi pilihan utama. Sebaliknya, pengguna beralih kepada ATS, syabu dan metamfetamin yang jauh lebih berbahaya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Dadah Sintetik Jadi Pilihan Utama Penagih

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung jumlah kes penagihan dadah sintetik sejak 2023 serta langkah kerajaan menangani peningkatan penggunaannya termasuk ancaman fentanyl.

Saifuddin berkata, ancaman dadah sintetik terus berkembang dengan kemunculan bahan baharu seperti fentanyl yang dikesan melalui operasi melibatkan cecair vape.

“Fentanyl memang sudah ada di negara kita, tetapi belum berada pada tahap yang serius.

“Namun fentanyl mempunyai kesan puluhan kali ganda lebih kuat daripada morfin dan boleh menyebabkan kematian akibat kegagalan sistem pernafasan.

“Penyebaran fentanyl di Malaysia masih belum mencapai tahap membimbangkan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Kanada,” katanya.

Kerajaan Ambil Langkah Awal

Menurut beliau, kerajaan telah mengambil langkah awal dengan memasukkan fentanyl ke dalam Jadual 1 Akta Dadah Berbahaya serta undang-undang berkaitan.

Katanya, langkah itu membolehkan tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan dilaksanakan lebih berkesan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan golongan muda berusia antara 15 hingga 39 tahun merupakan kumpulan paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini.

“Jumlah itu mewakili hampir 75 peratus daripada keseluruhan 192,000 kes yang direkodkan,” katanya.

5 Daerah Catat Kadar Tertinggi

Saifuddin berkata, berdasarkan analisis terkini, seramai 560 individu bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia dikenal pasti terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Beliau turut mendedahkan lima daerah yang merekodkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini iaitu Pendang, diikuti Kuala Krai, Bachok, Besut dan Mersing.

“Ini bukan sekadar statistik. Ia memberi gambaran jelas bahawa ancaman dadah sedang menjejaskan generasi yang sepatutnya menjadi pemacu ekonomi negara,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette

SHARE:

TERKINI

KPDN Kelantan Gagalkan Cubaan Seludup Lebih 20 Tan Minyak Masak Ke Thailand
|
Cubaan menyeludup lebih 20 tan metrik minyak masak peket…
KRW FC Umum 23 Penaja Untuk Musim Liga Super 2026/2027
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memperkenalkan seramai 23…
12 Pasukan Bola Sepak Kelantan Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia
|
Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat…
Anwar Lancar Avatar AI, Pelawa Rakyat Kongsi Pandangan Secara Terus Di WhatsApp
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia,…
Rumah Kedai Sedang Diubah Suai Runtuh, Hempap Dua Kenderaan Di Melaka
|
Suasana tenang di Taman Kota Laksamana, Melaka bertukar cemas…
KRW FC Hantar Dokumen Kepada FIFA, Yakin Sekatan Perpindahan Dapat Diselesaikan
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!