Juruwang Didenda RM5,000 Rakam Kakak Ipar Dalam Tandas Guna Pen Perakam

Seorang juruwang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah merakam kakak iparnya ketika berada di dalam tandas menggunakan pen perakam di sebuah pasar mini minggu lalu.

Tertuduh berusia 29 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa merakam seorang wanita berusia 30 tahun yang juga kakak iparnya ketika mangsa sedang menyelak baju di dalam tandas tanpa pengetahuan wanita berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan menggunakan kamera perakam yang disembunyikan dalam pen dengan tujuan mengganggu kesantunan mangsa.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pasar mini di Kampung Kor, Batu 8, Jalan Kuala Krai kira-kira jam 1 petang pada 19 Jun lalu.

Berdepan Hukuman Penjara Hingga Lima Tahun

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshayati Hassan.

Pendakwa Mohon Hukuman Setimpal

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan kerana perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa berasa malu selain mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dan bekerja di tempat yang sama.

Peguam bela pula memohon denda minimum dengan alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,200 sebulan sebagai juruwang.

Menurut peguamnya, tertuduh yang masih bujang telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh dilaporkan telah membayar denda yang dikenakan.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Suami Tetak Isteri Guna Parang Sebab Tegur Jiran Lelaki
|
Seorang suri rumah berusia 40 tahun cedera parah selepas…
KRW FC Terima Suntikan Penajaan Baharu Daripada Raja Perfume
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) terus menerima sokongan…
Juruwang Didenda RM5,000 Rakam Kakak Ipar Dalam Tandas Guna Pen Perakam
|
Seorang juruwang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini…
Dikejar 10 Kilometer, Lelaki Tinggalkan 1.36 Tan Minyak Masak Bersubsidi
|
Cubaan seorang lelaki meloloskan diri daripada pihak berkuasa berakhir…
Rohingya Tidak Layak Mohon Lesen, Pemilik Kenderaan Boleh Didakwa – JPJ Kelantan
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menegaskan etnik Rohingya tidak…
Saifuddin Dedah 5 Daerah Catat Penyalahgunaan Dadah Tertinggi Dalam Negara
|
Penyalahgunaan dadah sintetik kini menjadi ancaman terbesar negara apabila…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!