Seorang lelaki sanggup tinggal bersendirian di sebuah bangsal usang dalam hutan di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang, semata-mata kerana tidak mahu menyusahkan keluarga, lapor Berita Harian.
Lelaki berkenaan, Amran Mamat, 53, menghidap pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi serta paru-paru berair, menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja seperti biasa.
Akibat kekangan kesihatan, Amran kini hanya bergantung kepada ihsan adik-beradik untuk meneruskan kehidupan seharian.
Bangsal kecil yang didiaminya dibina menggunakan kayu hutan, berdinding papan lapis serta zink terbuang, dengan saiz yang hanya cukup untuk memuatkan sebuah tilam bagi berehat dan berlindung daripada panas serta hujan.
“Sudah dua tahun saya hidup sendiri dalam hutan ini, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hampir setiap hari adik-beradik datang beri makanan atau saya akan masak sendiri berlaukkan telur goreng.
“Saya tidak mahu menyusahkan adik-beradik yang mempunyai keluarga masing-masing, biarlah saya sendirian di sini asal tidak menyusahkan sesiapa,” katanya.
Amran berkata, bantuan yang diberikan adik-beradik termasuk menghantar dirinya ke hospital untuk rawatan sudah cukup bermakna buatnya.
Menurutnya, walaupun bangsal itu serba daif, ia satu-satunya tempat yang mampu dimiliki, meskipun hanya berteman cahaya lampu solar serta sumber air daripada telaga.
“Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Rumah ini serba daif, tetapi ini sahaja saya mampu walaupun hanya berteman cahaya lampu solar dan sumber air telaga,” katanya.
Amran ditemui selepas menerima lawatan Pengerusi Penasihat GiatMARA Rantau Panjang, Anuar Mohamaddan, bersama wakil Yayasan Raja Shamri, Tuan Zaimah Raja Omar.
Dalam lawatan itu, Anuar hadir menyampaikan sumbangan kewangan selain cuba membantu usaha membaik pulih bangsal tersebut menerusi bantuan e-Kasih.
“Saya berterima kasih kepada YRS dan GiatMARA yang sudi membantu termasuk memudahkan urusan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sejujurnya saya harap bangsal buruk ini dapat dibaik pulih.
“Saya bimbang ancaman haiwan berbisa selain musim tengkujuh yang mungkin menenggelamkan bangsal ini,” katanya.
Amran turut memaklumkan dia tidak mampu berjalan jauh kerana mudah letih dan sering mengalami kesukaran bernafas.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
