Seorang pemandu sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas lima pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah sintetik dengan berat kasar keseluruhan hampir 570 kilogram (kg) di sebuah rumah di Krubong, awal Mac lalu.
Tertuduh, Chai Koh Chun, 55, mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis 3,4-metilenadioksimetamfetamina (MDMA) dan nimetazepam masing-masing dengan berat kasar 176.42 gram (g) dan 150.88g.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Satu Krubong pada 8 Mac lalu kira-kira jam 4 petang.
Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan mengedar dadah jenis sama pada tarikh, masa dan lokasi sama, iaitu MDMA dengan anggaran berat kasar masing-masing 269,382.78g dan 298,650g serta ketamin dengan anggaran berat 1,003.30g.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta jika tidak dihukum mati, sebatan minimum 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja dan Amy Chong Chai Ling.
Mahkamah menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia selepas permohonan pendakwaan dan tiada jaminan ditawarkan.
Dalam perkembangan lain, pada 17 Mac lalu, tertuduh bersama dua individu lain iaitu Sim Jia Xian, 20 dan Ong Wan Qi, 23, turut didakwa mengikut Seksyen 39B ADB 1952 atas pertuduhan bersama-sama mengedar dadah nimetazepam seberat 1,735.15g di sebuah rumah di Taman Puncak Bertam, pada 6 Mac lalu kira-kira jam 1 pagi.
Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada tarikh sama selepas pendakwaan memaklumkan laporan kimia masih belum diperoleh.
Media sebelum ini melaporkan polis menyerbu tiga kediaman sekitar Melaka Tengah awal Mac lalu dan merampas dadah keseluruhan bernilai kira-kira RM86.78 juta, dengan lima ahli sindiket termasuk seorang wanita ditahan.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
