Polis rampas dadah RM1.04 bilion, lumpuhkan sindiket dadah antarabangsa

Polis berjaya melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa yang didalangi warga Asia Timur selepas merampas dadah seberat 6.2 tan bernilai kira-kira RM1.04 bilion menerusi Op Gaharu 2.0 di sekitar Lembah Klang pada 21 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata serbuan itu dibuat susulan penahanan enam individu termasuk tiga wanita dalam Op Gaharu 1.0 pada 16 Disember.

Menurutnya, serbuan pertama di Taman Industri Selasa Jaya, Seri Kembangan membawa kepada rampasan 5,983.36 kilogram (kg) cecair dan 207.74 kg serbuk putih, kedua-duanya disyaki Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA).

Pada hari yang sama, pasukan turut menyerbu sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dan merampas 20.273 kg serbuk disyaki kokain serta 1.252 kg serbuk putih disyaki ketamin.

“Jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan 6,212 kg bernilai RM1.04 bilion dan mampu merosakkan 20.7 juta pengguna,” katanya pada sidang media di Balai Polis Semenyih.

Hussein berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan membawa masuk ahli kimia dan bahan prekursor dari luar negara, selain menggunakan koordinator serta ahli tempatan bagi memproses dadah. Sindiket itu disifatkan sebagai yang terbesar pernah ditumpaskan.

Tambahnya, sindiket mengendalikan 14 kilang dan 10 rumah kediaman yang diubah suai menjadi makmal pemprosesan serta stor penyimpanan, dengan setiap premis disewa antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.

Malaysia dipercayai dijadikan pusat pemprosesan sebelum dadah diedarkan ke beberapa negara termasuk Hong Kong dan Australia. Sindiket beroperasi sejak Januari lalu dan mempunyai lebih 12 ahli, termasuk dalang utama.

“Berdasarkan peralatan yang dirampas, operasi ini jelas dijalankan pada skala sangat besar. Kita akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa negara terlibat serta Interpol bagi menjejaki baki ahli sindiket,” katanya.



Selain aktiviti dadah, polis turut mengesan kegiatan penipuan dalam talian, apabila sebuah premis di Kajang yang diserbu pada 21 Disember dijadikan pusat panggilan penipuan. Seramai 14 individu ditahan dan kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan lanjut.

Sumber: Bernama

TERKINI

Lebuh Raya KBKK Capai 71.4 Peratus Siap, Dijangka Beroperasi Sepenuhnya 2027
|
Projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) kini…
Murid SJKC Di Kota Bharu Cipta Kejutan Muncul Johan Tilawah Al-Quran
|
Ramai mungkin tidak menyangka seorang murid dari Sekolah Jenis…
Penunggang Motosikal Maut Dihempap Pokok Pulai Berusia Lebih 200 Tahun Ketika Ribut
|
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap sebatang…
Thailand Rampas 750 Liter Petrol Malaysia Disyaki Baru Diseludup Di Sungai Golok
|
Pihak berkuasa Thailand terus memperketat kawalan di sempadan apabila…
MPKB-BRI Tolak Rayuan, Penganjur Disko Retro Kekal Kena Kompaun RM30,000
|
Penganjur majlis disko retro bertemakan hippie ala 60-an dan…
Lombong Haram Di Gua Musang Diserbu, Tujuh Jentera Bernilai RM4 Juta Disita
|
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan menyita tujuh jentera…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!