Gerak-geri mencurigakan seorang lelaki di sebuah astaka padang bola membawa kepada penemuan tiga jenis dadah bernilai keseluruhan RM12,140 di Felda Aring 1, Gua Musang.
Menurut laporan Harian Metro, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam dalam satu operasi pencegahan jenayah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Paloh 2 mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan tugas di kawasan berkenaan.
Hasil pemeriksaan menemukan sebuah beg silang yang mengandungi bahan disyaki syabu, 971 biji pil yaba dan 209 biji pil psikotropik.
Positif methamphetamine
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati beliau positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rikod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.
Suspek kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut termasuk mengenal pasti individu lain yang dipercayai terbabit serta mengesan sumber bekalan dadah tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis terus perangi kegiatan dadah
Sik berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha memerangi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
“Pihak polis khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Orang ramai diseru supaya terus berkerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Sumber: Harian Metro
