10 Sekolah Di Bachok Terjejas Jerebu Akibat Kebakaran Tanah Gambut

Sebanyak 10 sekolah di daerah Bachok dilaporkan terjejas akibat jerebu yang berpunca daripada kebakaran tanah gambut yang masih berlaku di Kampung Kuau dan kawasan sekitarnya.

Antara sekolah yang terkesan ialah SMK Kandis, SK Kandis, SMK Kubang Telaga, SK Kubang Telaga, SK Beris Lalang, SK Bakong, SK Telaga Ara, SMK Agama Tok Bachok (SMKATB), Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman serta SK Seneng.

Bacaan PM2.5 Dan PM10 Cecah Tahap Tinggi

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bachok, Mohd Zaki Yusoff berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menempatkan stesen pemantauan kualiti udara mobil di SK Beris Lalang bagi memantau zon impak dalam radius lima kilometer.

Menurutnya, hasil cerapan data teknikal menunjukkan antara jam 11.30 malam hingga 9.30 pagi, kandungan partikel halus PM2.5 dan PM10 mencatat bacaan tinggi mencecah 170 hingga 200 mikrogram per meter padu.

Bacaan tersebut bersamaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 201 hingga 300 yang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.

Bagaimanapun, kualiti udara dilaporkan kembali ke tahap normal bermula jam 10 pagi setiap hari.

Sekolah Diminta Ambil Langkah Drastik

Mohd Zaki berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok sudah mengeluarkan arahan kepada pihak sekolah untuk mengambil langkah drastik selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Jerebu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang sedang berkuat kuasa.

OP PADAM Capai 97 Peratus Kejayaan

Dalam pada itu, operasi bersepadu menangani kebakaran tanah gambut dikenali sebagai OP PADAM mencatatkan kejayaan signifikan apabila 97 peratus kawasan berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Menurut Mohd Zaki, setakat ini 62 daripada keseluruhan 64 hektar kawasan terjejas sudah berjaya dikawal hasil tindakan pantas pelbagai agensi.

Operasi itu turut membabitkan kerjasama Ketua Polis Daerah Bachok selaku komander operasi bencana serta ketua Zon Bomba selaku Timbalan Komander dengan sokongan JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Turut terlibat ialah Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok, Majlis Daerah Bachok-Bandar Pelancongan Islam (MDB-BPI), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bachok dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Walaupun api utama sudah dipadamkan, pemantauan rapi kualiti udara terus dipergiat bagi menangani kesan jerebu terutama di kawasan institusi pendidikan.

Tiada Sekolah Ditutup, PdP Masih Berjalan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad mengesahkan menerima laporan berkaitan 10 sekolah terbabit.

Bagaimanapun katanya, proses pengajaran dan pembelajaran masih berlangsung seperti biasa dan tiada sekolah ditutup setakat ini.

PIBG Minta Aktiviti Luar Dibatal, Pelajar Digalak Pakai Pelitup Muka

Pengerusi PIBG SK Beris Lalang, Anuar Salleh berkata, pihak sekolah membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah buat sementara waktu serta menggalakkan pelajar memakai pelitup muka.

Beliau turut berharap sesi persekolahan dapat ditangguhkan bermula jam 9 hingga 10 pagi ketika keadaan udara lebih baik.

Seorang bapa pelajar, Wan Mohd Shahlan Wan Zakaria, 40, berkata jerebu sejak dua minggu lalu turut mengganggu kesihatan anak-anaknya.

Menurutnya, terdapat pelajar yang mula mengalami batuk, asma, sakit mata dan ada yang terpaksa pulang awal dari sekolah.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

10 Sekolah Di Bachok Terjejas Jerebu Akibat Kebakaran Tanah Gambut
|
Sebanyak 10 sekolah di daerah Bachok dilaporkan terjejas akibat…
ā€œKelantan Dah Lama Ketinggalan, Jadi Kita Nak Kejarā€ – MB Kelantan
|
Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri…
Sindiket ā€˜Love Scam’ Jadikan Resort Di Tanah Merah Pusat Operasi, 58 Orang Ditahan
|
Taktik licik sindiket ā€˜love scam’ yang menjadikan sebuah resort…
Tegur Anak Buat Air, Warga Emas Maut Ditumbuk Anak Sendiri Di Kota Bharu
|
Seorang warga emas berusia 83 tahun disahkan meninggal dunia…
Ibu Tunggal Masalah Mental, Sakit Jantung Tabah Jaga Lima Anak OKU Di Pasir Puteh
|
Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit jantung berlubang serta…
Penganggur Serang Polis Mengaku Bersalah Miliki Parang Depan Pintu UiTM Machang
|
Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu…
Jawatan Kosong Kelantan