Bengkel Buat Bakul Lori Terbakar Di Wakaf Bharu, Kerugian Cecah RM40,000

Seorang pemilik bengkel membuat bakul lori mengalami kerugian lebih RM40,000 apabila premisnya di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, Tumpat terbakar awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kebakaran membabitkan ruang memproses dan stor simpanan kayu sehingga memusnahkan lima mesin serta timbunan papan yang digunakan untuk pembuatan bakul lori.

Pemilik bengkel, Azlisyam Aziz, 50, berkata dia menerima panggilan daripada adiknya sekitar jam 3.30 pagi memaklumkan premis berkenaan terbakar.

“Saya segera ke bengkel dan melihat api sedang marak manakala pasukan bomba sedang cuba memadamkan kebakaran.

“Lima mesin memproses rosak dalam kebakaran termasuk timbunan papan untuk pembuatan bakul lori dan kerugian dianggarkan lebih RM40,000,” katanya ketika ditemui hari ini.

Azlisyam berkata, kebakaran itu merupakan kejadian kedua yang menimpa bengkel miliknya yang sudah beroperasi selama 17 tahun, selepas kejadian sama pernah berlaku pada tahun 2015.

Menurutnya, bengkel berkemungkinan terpaksa ditutup selama seminggu sementara menunggu kerja pembersihan dan proses pemulihan selesai, sekali gus menyebabkan tempahan pelanggan terpaksa ditangguhkan.

“Saya reda dengan kejadian ini, sekurang-kurangnya tidak membabitkan nyawa.

“Ini kerana di sekeliling bengkel ada rumah kediaman serta kedai makan tapi semua terselamat dengan kepantasan pasukan bomba,” katanya.

Jiran Panik, Sempat Selamatkan Keluarga

Sementara itu, saksi kejadian yang juga pemilik kedai kopi bersebelahan, Mohd Afizal Abdul Rahman, 47, berkata dia dikejutkan dengan ketukan pintu bertalu-talu yang memaklumkan mengenai kebakaran itu.

Katanya, sebaik mengetahui bengkel di sebelah premisnya sedang terbakar, dia segera mengejutkan isteri serta lima anaknya sebelum mengalihkan motosikal dan kereta yang diparkir berhampiran ke tempat selamat.

Bomba Kawal Api Dalam Masa Sejam

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Muhammad Najmi Mat Yusoff berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 pagi sebelum seramai 13 anggota termasuk dari BBP Wakaf Bharu dikerahkan ke lokasi.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan ruang stor simpanan kayu dengan kemusnahan dianggarkan 80 peratus.

“Api dapat dikawal jam 4.05 pagi dan operasi tamat jam 5.34 pagi manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

Lelaki Ditemukan Maut Dengan Kesan Tikaman Dalam Bilik Mandi Di Kota Bharu
|
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditemukan maut dengan kesan…
Kerajaan Kelantan Tegas Terhadap Perlombongan Haram Selepas Tragedi Di Jeli
|
Kerajaan Negeri Kelantan melahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap…
Laluan Jalan Lojing – Gua Musang Kini Dibuka Semula Kepada Semua Kenderaan
|
Laluan FT185 Seksyen 107.60 Jalan Lojing – Gua Musang…
45 Rumah Di Pasir Mas Dikesan Buat Sambungan Haram Bekalan Air
|
Sebanyak 45 rumah di kawasan perumahan Prima Lubok Jong,…
Penoreh Getah Dipenjara 12 Bulan Cederakan Anggota Polis Di Gua Musang
|
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh…
Empat Motosikal Polis Trafik Musnah Dalam Kebakaran Di IPD Pasir Puteh
|
Empat motosikal polis trafik musnah dalam satu kebakaran yang…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!