Sebuah gudang pemborong dan runcit bawang serta buah-buahan import di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu, musnah dalam kebakaran pada malam Ahad, sekali gus mengakibatkan kerugian besar kepada pengusaha.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.09 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 9.16 malam, tujuh minit selepas panggilan diterima dengan jarak kira-kira 2.3 kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan sebuah gudang di Jalan Kebun Sultan. Operasi pemadaman dijalankan oleh keseluruhan pasukan dari empat balai bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi pemadaman melibatkan dua lori tangki dan empat jentera dari BBP Kota Bharu, Darul Naim, Pengkalan Chepa dan Tunjong.
Setibanya pasukan di lokasi, kebakaran didapati sedang marak di bahagian gudang dan tindakan pemadaman serta pengawalan kebakaran segera dilakukan bagi mengelakkan api merebak ke kawasan sekitar.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, gudang berkeluasan kira-kira 2,000 meter persegi musnah sepenuhnya bersama lebih 15,000 kotak limau mandarin yang baharu tiba untuk pasaran Tahun Baharu Cina.
Kebakaran turut memusnahkan stok bawang serta pelbagai buah-buahan import lain termasuk kurma, oren, epal, anggur, kiwi, strawberi dan ceri yang dibekalkan dari Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.
Pengurus gudang, Hong Lee Feng berkata, kebakaran itu menyebabkan kerugian besar kerana beberapa kontena bekalan baharu baru sahaja tiba.
“Semua sekali limau 19,200 kotak atau 76.8 tan metrik sampai dengan tiga kontena dari pembekal di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sejak bulan lepas.
“Ini stok Tahun Baharu Cina untuk lebih 30 pasar raya sekitar Kelantan. Ada yang sudah dibekalkan, tetapi masih banyak dalam gudang dan terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Menurutnya, beliau hanya menyedari kejadian itu selepas dihubungi orang awam ketika berada di rumah.
“Saya balik kerja jam 8 malam. Sekitar jam 9 malam, ada orang telefon beritahu ada kebakaran. Bila sampai, api sudah marak dan tidak sempat menyelamatkan buah serta bawang,” katanya.
Beliau memaklumkan, kesemua buah-buahan ditempatkan dalam enam bilik sejuk di dalam gudang tersebut.
Gudang yang beroperasi lebih 40 tahun itu merupakan antara pusat pengedaran utama bawang dan buah-buahan import ke seluruh Kelantan serta menggaji kira-kira 20 orang pekerja.
Ketika kejadian, premis berkenaan ditutup dan tiada pekerja berada di dalam gudang.
Sementara itu, Mohd Fadhlizil berkata, operasi pemadaman berdepan kesukaran apabila rak barangan runtuh, sekali gus menyukarkan akses pasukan bomba ke bahagian belakang bangunan.
“Kami terpaksa menggunakan jentera tangga hidraulik untuk kerja pemadaman dari atas bumbung.
“Kebakaran memusnahkan 100 peratus barangan di dalam gudang, manakala beberapa kenderaan termasuk dua lori dan dua motosikal turut musnah,” katanya.
Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
