Kerajaan Negeri Kelantan menghargai dan menyambut baik pengumuman peruntukan berjumlah RM20 juta bagi program pembasmian kemiskinan untuk negeri Kelantan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke negeri itu semalam.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, projek berkenaan akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Negeri Kelantan.
Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan berjumlah RM500,000 turut diumumkan bagi kerja-kerja membaik pulih prasarana Sekolah Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Al-Muhammadiah, Bachok, susulan kebakaran yang berlaku sebelum ini.
Peruntukan sama turut melibatkan bantuan kepada institusi pendidikan Islam di Kelantan termasuk kepada tujuh buah pondok di jajahan Pasir Puteh, Bachok dan Pasir Mas.
Menurut beliau, kerjasama erat dalam menunaikan hak rakyat dengan penuh kesaksamaan amat penting bagi membangunkan negara dan memastikan nasib rakyat terus dipelihara.
Kenyataan itu dikeluarkan menerusi kenyataan media rasmi Menteri Besar Kelantan.
SHARE:
