Adik kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam yang maut dipercayai dipukul mendakwa keluarganya sudah dapat mengagak abangnya tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan dialami terlalu parah.
Nur Aina Mohd Zainal, 18, berkata selepas menerima berita abangnya, Muhammad Zakir Fikry, 20, dikatakan terlibat kemalangan jalan raya, dia bersama bapanya Mohd Zainal Saud, 53, terus bergegas ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Menurutnya, sebaik tiba di hospital, dia melihat abangnya sedang dirawat di Zon Merah dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan banyak kesan kecederaan di badan terutama di bahagian kepala dan muka.
“Kami sudah dapat agak abang tak dapat diselamatkan kerana kecederaannya agak parah dan ketika melihatnya di hospital pun darah di kepala masih menitis,” katanya.
BERKAITAN:
Polis Sahkan OKU Lembam Ditemui Tepi Jalan Di Bachok, Kes Diklasifikasi Bunuh
OKU Lembam Maut Dipercayai Dipukul, Ditinggalkan Tepi Jalan Di Bachok
Nur Aina berkata, keluarganya pilu melihat keadaan arwah yang mengalami kesan lekuk di kepala selain kedua-dua mata serta pinggang kanan turut lebam.
Katanya, selepas beberapa jam menerima rawatan, abangnya disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.45 tengah malam tadi.
Menurutnya lagi, keluarga tidak percaya kecederaan itu berpunca daripada kemalangan kerana dimaklumkan motosikal yang berada beberapa meter dari lokasi arwah ditemui terbaring tidak mengalami sebarang kerosakan.
Nur Aina berkata, jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Karang selepas selesai proses bedah siasat.
Mengimbas semula sebelum kejadian, beliau berkata arwah yang bekerja sebagai pemasang jubin menetap di rumah majikannya di kampung sama dan keluar rumah kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Katanya, arwah meminjam motosikal majikannya dan memaklumkan mahu keluar mengambil rim daripada rakan.
Bagaimanapun, majikan arwah menghubungi keluarga sekitar jam 3 pagi untuk bertanyakan keberadaan arwah sebelum mereka menerima panggilan daripada ibu saudara pada jam 7.30 pagi yang menunjukkan gambar kejadian.
Tidak lama kemudian, keluarga dihubungi pegawai perubatan yang meminta mereka segera ke HPUSM.
Nur Aina berkata, dia sangat rapat dengan arwah dan kali terakhir mereka bertemu adalah seminggu lalu tanpa sebarang perubahan ketara.
Namun katanya, majikan arwah ada memaklumkan bahawa abangnya sering mengantuk beberapa hari kebelakangan ini dan mengadu letih.
Malah ketika Aidilfitri lalu, arwah juga bersungguh-sungguh mengajak mereka merakam gambar raya sekeluarga sedangkan sebelum ini tidak begitu.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
