Tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan di wilayah timur laut Thailand, Khon Kaen, selepas polis merampas kira-kira 97 kilogram (kg) methamphetamine jenis kristal dalam satu operasi bersama di dalam kereta api menuju ke Bangkok.
Menurut kenyataan Biro Siasatan Pusat (CIB), suspek ditahan selepas pegawai menemui tiga beg pakaian tidak dituntut yang mengandungi dadah dalam tren dari Nong Khai menuju ke Terminal Pusat Krung Thep Aphiwat di Bangkok.
CIB memaklumkan operasi itu dijalankan bersama Kereta Api Negara Thailand (SRT), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Bahagian Polis Lebuhraya sebagai sebahagian usaha memperketat keselamatan penumpang serta membanteras jenayah dalam perkhidmatan rel.
Menurut CIB, rondaan yang dijalankan pada 8 April menemui tiga beg besar berwarna hitam yang dikunci menggunakan kombinasi dan diletakkan di rak bagasi sebuah gerabak ketika kereta api melalui wilayah Khon Kaen.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada penumpang mengaku memiliki beg itu, sekali gus mendorong siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
CIB berkata, kakitangan kereta api kemudian mengesahkan tiga lelaki terbabit membawa beg berkenaan ketika menaiki tren di stesen Nong Khai, manakala rakaman CCTV mengenal pasti suspek yang kemudian ditemui duduk dalam gerabak sama.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki itu mengaku membawa bagasi berkenaan namun mendakwa tidak mengetahui kandungannya, sebaliknya diarahkan oleh pihak lain untuk menghantar beg itu ke Bangkok.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Phon di Khon Kaen untuk tindakan lanjut,” menurut CIB.
Sumber: Bernama
SHARE:
