Serangan udara Iran dilaporkan memaksa tentera Amerika Syarikat (AS) mengosongkan beberapa pangkalan ketenteraan di Asia Barat, lapor The Telegraph.
Menurut laporan itu, tentera AS kini dikatakan terpaksa bekerja dari hotel dan ruang pejabat berhampiran, yang berpotensi membahayakan keselamatan mereka serta orang awam.
Iran didakwa menyerang pangkalan AS dan serantau berdasarkan analisis geolokasi serangan oleh Fabian Hinz, seorang penganalisis sumber terbuka.
Pada masa sama, firma satelit AS dilaporkan menangguhkan pengeluaran imejan sekurang-kurangnya 14 hari, sekali gus menyukarkan penilaian tahap kerosakan sebenar di lokasi terlibat.
13 Pangkalan AS Dilapor Hampir Tidak Dapat Didiami
Bagaimanapun, The New York Times melaporkan sebanyak 13 pangkalan AS di seluruh Kuwait, Bahrain, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa hampir tidak dapat didiami akibat serangan berterusan.
Daripada semua pangkalan tersebut, Ali Al Salem di Kuwait dikatakan mengalami serangan paling banyak iaitu sebanyak 23 kali, menurut Hinz.
Ia diikuti Kem Arifjan dan Kem Buehring, juga di Kuwait, masing-masing dengan 17 dan enam serangan berdasarkan geolokasi.
Imej satelit daripada tiga pangkalan ini turut menunjukkan kerosakan pada hangar, infrastruktur komunikasi, peralatan satelit serta stor bahan api, susulan serangan ke atas Pangkalan Ali Al Salem.
Pangkalan Di UAE, Bahrain, Iraq Turut Diserang
Iran juga dilaporkan menyerang pangkalan di beberapa negara lain termasuk:
- UAE (17 kali)
- Bahrain (16 kali)
- Iraq (7 kali)
- Qatar (6 kali)
- Arab Saudi (6 kali)
- Jordan (2 kali)
Menurut satu kajian oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, serangan pada hari pertama perang sahaja dianggarkan menyebabkan kerosakan bernilai sekurang-kurangnya AS$800 juta (kira-kira RM3.14 bilion).
Kerosakan itu dipercayai termasuk terkena radar sistem pertahanan udara Thaad milik AS di Jordan serta beberapa infrastruktur lain di rantau berkenaan.
Kerosakan Hangar, Antena Satelit Dan Bangunan Tentera
Di Arab Saudi, imej satelit di Pangkalan Udara Prince Sultan menunjukkan hangar yang bumbungnya dilaporkan sudah runtuh.
Manakala di Qatar, Pangkalan Udara Al Udeid yang merupakan pangkalan AS terbesar di Asia Barat, imejan menunjukkan kemusnahan terhadap pelbagai antena dan susunan satelit.
Di UAE pula, imej di Pangkalan Udara Al Dhafra menunjukkan kewujudan lubang besar di tengah bangunan yang dipercayai digunakan untuk menempatkan tentera.
Sumber Iran mendakwa serangan itu dilakukan menggunakan peluru berpandu Khorramshahr-4, yang disifatkan antara senjata paling canggih dalam persenjataan Iran.
SHARE:
