80,000 Rakyat Palestin Tunai Solat Jumaat Pertama Ramadan Di Masjid Al-Aqsa

Kira-kira 80,000 rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat pertama Ramadan di Masjid Al-Aqsa di Timur Baitulmuqaddis yang diduduki, termasuk hanya 10,000 jemaah dari Tebing Barat susulan sekatan ketat Israel, menurut pihak berkuasa tempatan.

Jabatan Wakaf Islam Baitulmuqaddis dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah tersebut, lapor Anadolu Ajansi.

Polis Israel ditempatkan secara besar-besaran di sekitar pekarangan masjid serta di seluruh Kota Lama Baitulmuqaddis sebelum waktu solat.

Menurut pihak polis, seramai 3,000 anggota dikerahkan ke seluruh Timur Baitulmuqaddis pada Jumaat, selari dengan sekatan terhadap rakyat Palestin yang dalam perjalanan dari Tebing Barat ke bandar itu.

Saksi memaklumkan tentera Israel menyekat ribuan jemaah di pusat pemeriksaan sekitar Timur Baitulmuqaddis, sekali gus menghalang mereka daripada sampai ke masjid.

Pejabat Gabenor Baitulmuqaddis Palestin berkata ribuan penduduk Tebing Barat bersesak di pusat pemeriksaan Qalandia, namun pihak berkuasa Israel menafikan kemasukan mereka dengan alasan kuota 10,000 orang untuk hari Jumaat telah dipenuhi.

Media Israel, Channel 12 melaporkan kepimpinan politik Israel sebelum ini meluluskan rancangan yang membenarkan sehingga 10,000 jemaah Palestin dari Tebing Barat memasuki Al-Aqsa untuk solat Jumaat sepanjang Ramadan.

Di bawah rancangan itu, rakyat Palestin perlu mendapatkan permit harian khas bagi setiap waktu solat.

Akses dari Tebing Barat dihadkan kepada lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita berumur 50 tahun ke atas serta kanak-kanak bawah 12 tahun yang ditemani saudara terdekat.


Tentera Israel turut memaklumkan semua permit memerlukan kelulusan keselamatan terlebih dahulu dan jemaah perlu melalui prosedur pengesahan digital ketika kembali ke Tebing Barat.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

10 Rakyat Malaysia Dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0 Ditahan Tentera Zionis
|
Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia…
Pelajar Parah Dirempuh SUV Di SMK Tanjong Mas Dibenar Keluar Hospital
|
Pelajar perempuan tingkatan satu yang sebelum ini parah selepas…
Langgar Kereta Polis, Pacuan Empat Roda Ditembak Dua Das Sebelum Pemandu Ditahan
|
Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah…
Lelaki OKU Mental Didakwa Bunuh Bapa Di Baung Bayam
|
Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dihadapkan ke…
Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Jawatan Kosong Kelantan