Rasuah RM3 Juta, Bekas Naib Presiden UMNO Jalani Hukuman Penjara Bermula Hari Ini

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, diperintah menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula Selasa selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan terhadapnya atas sembilan kes rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Keputusan itu bermakna bekas Naib Presiden UMNO berusia 77 tahun itu akan menyambut Ramadan dan Syawal di sebalik tirai besi.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Nordin Hassan, bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, memutuskan demikian selepas menerima rayuan pendakwaan untuk mensabitkan semula Mohd Isa.

Mendengar keputusan tersebut, ahli keluarga Mohd Isa yang berada di galeri awam menangis selepas beliau dibawa ke lokap, dan mereka tidak sempat memeluknya sebelum dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Semasa membaca keputusan sebulat suara, Nordin berkata panel mendapati keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan bekas ahli politik itu adalah terkhilaf.

“Kami dapati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah tepat dan selamat. Tiada sebab untuk kami mengganggu keputusan yang mensabitkan Mohd Isa selaku responden atas semua kesalahan berkenaan dan mahkamah ini mengesahkan keputusan itu,” katanya.

Dalam prosiding tersebut, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, manakala Mohd Isa diwakili peguam M. Athimulan dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan enam tahun.

Pada 6 Mac 2024, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan selepas panel tiga hakim sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman tersebut.

Susulan itu, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan dan petisyen rayuan dengan mengemukakan 24 alasan, termasuk dakwaan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dalam membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi.

Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel, sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.


Isterinya, Bibi Sharliza Mohd Khalid, dilihat sangat emosional dan kedengaran menangis, manakala ahli keluarga lain terus menenangkan dan memegangnya ketika mereka keluar.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Penunggang RXZ Maut Dirempuh Selepas Proton Wira Buat Pusingan U
|
Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut selepas melanggar sebuah…
Dua Pemandu Bas Ekspres Ditahan, Sorok Syabu Belakang Tempat Duduk Pemandu
|
Dua pemandu bas ekspres ditahan polis selepas disyaki memiliki…
34,000 Akaun Pengguna Di Empat Jajahan Dijangka Alami Gangguan Bekalan Air
|
Kira-kira 34,000 akaun pengguna di empat jajahan di Kelantan…
PGA Tahan Enam Lelaki, Rampas 360 Tan Bijih Besi Di Kuala Krai
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam lelaki serta merampas…
“Saya Ingat Kami Semua Akan Mati” – Rumah Diserang 49 Das Mercun Di Kota Bharu
|
Detik mencemaskan dilalui lapan sekeluarga apabila rumah mereka di…
Bayi Perempuan Bertali Pusat Ditemui Ditinggalkan Di Pekarangan Masjid
|
Jemaah dan penduduk sekitar Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut digemparkan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!