Seorang warga emas lelaki yang diserang angin ahmar ditemui tinggal sendirian dan tidak terurus di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas, hari ini.
Kisah warga emas yang dikenali sebagai Pak Din, 61, itu tular di media sosial selepas menerima lawatan badan bukan kerajaan (NGO) Jejak Jalanan di bawah aktivis sosial, Abbe Hae.
Abbe Hae berkata, pihaknya menerima laporan mengenai keadaan warga emas berkenaan melalui panggilan penduduk setempat sebelum dia bersama pasukan bergegas ke kediaman mangsa.
“Remuk hati saya apabila sebaik sahaja sampai, melihat sekujur tubuh yang hanya terbaring selain dipenuhi dengan najis. Lebih menyayat hati, apabila saya dimaklumkan bahawa dia tinggal sendirian sejak dua tahun lalu.
“Selain itu, warga emas berkenaan banyak dibantu jiran atau penduduk kampung sama ada untuk dimandikan atau diberi makan dan minum. Saya difahamkan mangsa mempunyai anak, namun bekerja di luar Kelantan.
“Kami membawanya ke hospital untuk rawatan dan akan menempatkan dia di Rumah Orang Tua untuk penjagaan yang lebih rapi,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan dan Sukarelawan Negeri Kelantan di Min House Camp, Kubang Kerian, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Abbe Hae berhubung isu tersebut.
Menurut Abbe Hae, beliau turut berterima kasih atas kerjasama pemimpin setempat serta pihak polis yang membantu dalam pengurusan kes Pak Din.
“Hasil semakan mendapati, warga emas itu sudah menerima Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) dari JKM sebanyak RM500 sebulan.
Bagaimanapun, siasatan akan dilakukan membabitkan pengabaian terhadap mangsa.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau andainan berkaitan kes ini kerana siasatan terperinci sedang dijalankan,” katanya.
Sumber: Abbe Hae, Harian Metro
SHARE:
