Seorang imam masjid di sebuah wilayah di China mencuri perhatian netizen selepas identitinya sebagai anak jati Kelantan terbongkar menerusi satu video tular di media sosial.
Menerusi rakaman berdurasi lebih satu minit yang dimuat naik oleh seorang pelancong dari Kelantan, lelaki berkenaan dilihat sedang membaca al-Quran di dalam sebuah masjid sebelum ditegur menggunakan loghat negeri tersebut.
Lebih mengejutkan, apabila ditanya sama ada pernah makan budu, imam tersebut bukan sahaja tersenyum malah mengakui dirinya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan terus mempelawa pelancong berkenaan berkunjung ke rumahnya.
“Demo orang Kelantan ke?” soal pelancong itu.
“Ya, kawe orang Kelantan,” jawab imam berkenaan dengan fasih, sekali gus mencetuskan suasana ceria dan rasa tidak percaya pelancong tersebut.
Video berkenaan pantas meraih ribuan tontonan dan perkongsian orang ramai, dengan rata-rata meluahkan rasa kagum melihat anak Kelantan mampu menjadi imam masjid di negara China.
Ramai menyifatkan pertemuan itu sebagai bukti ukhuwah Islamiah merentas sempadan, selain melahirkan rasa bangga terhadap identiti rakyat Kelantan yang masih mengekalkan loghat dan budaya walaupun menetap jauh di perantauan.
Sumber: Hatimie Attef
SHARE:
