Dari Kelantan Ke Osaka, Pemuda Kongsi Pengalaman Jadi Imam Tarawih Di Jepun

Dalam kesejukan Ramadan di Osaka, sebuah masjid sederhana menjadi tempat perlindungan rohani buat Muslim dari pelbagai negara yang berhimpun dalam satu saf meskipun berbeza bahasa dan budaya.

Di negara yang Islamnya minoriti, masjid bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya ruang penyatuan ummah untuk berkongsi rindu terhadap suasana kehidupan Islam yang lebih subur seperti di Malaysia.

Bagi Muhammad Hanif Zakaria, 25, pengalaman mengimamkan solat tarawih di bumi asing membuka mata tentang betapa bertuahnya umat Islam di Malaysia yang menikmati kebebasan beragama dan kemudahan masjid dengan sokongan masyarakat majoriti Muslim.

Penuntut tahun akhir Program Pengajian Qiraat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, suasana Ramadan di Jepun jauh berbeza kerana kehadiran Muslim tempatan amat kecil.

Kebanyakan masjid di Osaka diimarahkan warga asing seperti Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Uzbekistan dan Indonesia, manakala Muslim tempatan Jepun boleh dibilang dengan jari.

“Walaupun berbeza bangsa dan bahasa, kami semua disatukan oleh satu akidah. Itu antara pengalaman paling menyentuh hati sepanjang berada di sana,” katanya kepada Sinar Ahad.

Muhammad Hanif merupakan antara 11 penuntut USIM yang mengikuti program imam tarawih di Osaka melalui latihan industri dan program mobiliti antarabangsa.

Beliau ditugaskan menjadi imam tarawih di Osaka Islamic Centre bersama Muhammad Fawzan Mohammad Najib.

Menurutnya, cabaran utama bukan sahaja perbezaan budaya tetapi juga cuaca yang amat sejuk.

“Dalam suhu sekitar 5 hingga 10 darjah Celcius, nak bangun pagi dan berjalan ke masjid memang mencabar. Itu antara ujian terbesar sepanjang Ramadan di sana,” katanya yang sebelum ini pernah mengikuti program sama di Auckland, New Zealand.

Selain faktor cuaca, perbezaan amalan tarawih turut menjadi cabaran apabila kebanyakan masjid di Jepun menunaikan lapan rakaat dengan bacaan satu juzuk al-Quran setiap malam, menyebabkan tempoh berdiri lebih panjang berbanding di Malaysia.

“Di Malaysia, pergerakan lebih banyak kerana rakaat lebih banyak. Di sana, lapan rakaat sahaja tetapi satu juzuk, jadi qiam itu sangat panjang,” jelas anak kelahiran Peringat, Kelantan itu.

Walaupun jumlah jemaah kecil dan suasana kurang meriah, beliau memuji kesungguhan mereka yang kekal sehingga solat selesai tanpa meninggalkan saf.

“Kalau di Malaysia, lapan rakaat pun sudah ada yang pulang. Di sana walaupun panjang, mereka akan kekal sampai habis,” ujarnya.

Selepas solat, Muhammad Hanif turut menyampaikan tazkirah ringkas kira-kira 10 minit bagi memberi motivasi kepada jemaah sepanjang Ramadan.


Program tahunan di Osaka yang kini memasuki tahun ketiga itu melibatkan 11 penuntut USIM bertugas sebagai imam tarawih dari 16 Februari hingga 25 Mac, selain menjalani latihan industri di beberapa masjid bersama imam jemputan dari Brunei Darussalam.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Empat Pasukan Bakal Berentap Dalam Kejohanan Pra Musim Di Kota Bharu
|
Peminat bola sepak bakal disajikan dengan aksi menarik apabila…
Kerajaan Cadang LPT3 Secara Kerjasama Awam Swasta Berikutan Kekangan Kewangan
|
Cadangan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3)…
Dua Wanita Antara Enam Individu Didakwa Seludup 10 Migran Bangladesh
|
Enam individu termasuk dua wanita dan seorang warga Thailand…
Mekanik Direman Kes Rogol Dan Samun Remaja Ketika Joging Di Tumpat
|
Selepas hampir sebulan kejadian yang menggemparkan penduduk Palekbang, Tumpat,…
Polis Tahan Lelaki Rohingya, Disiasat Kes Rogol Remaja Di Bachok
|
Seorang lelaki etnik Rohingya direman selama enam hari selepas…
Program Disko Retro Di Kota Bharu Disiasat, Pemilik Restoran Dakwa Tidak Tahu
|
Apa yang pada mulanya dipercayai hanya sebuah majlis tertutup…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!