Seorang peniaga ayam proses didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Bachok, kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Hakim Firdaus Robi, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun lima bulan di Kampung Teratai, Beris Panchor, Bachok kira-kira jam 3 pagi pada 3 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara berat sekiranya sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ridzuan Awang.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Kosmo
SHARE:
