Hapuskan ‘Parti Yeye’ Dalam Tentera, Perkahwinan Saya Hancur Kerana Parti Liar Itu

“Perkahwinan pertama saya hancur kerana budaya ‘parti yeye’ dalam Angkatan Tentera.”

Demikian pengakuan seorang wanita yang pernah berkahwin dengan seorang kapten Tentera Darat selama kira-kira 18 bulan sebelum rumah tangganya musnah, didakwa akibat tabiat pesta liar dalam kalangan pegawai tentera.

Guru berusia 37 tahun itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Zhane, berkata dia bertemu bekas suaminya ketika mereka masih belajar sebelum mendirikan rumah tangga pada 2012.

Menurut Zhane, sejak awal perkahwinan dia sudah mengesyaki aktiviti suaminya, namun memilih untuk memberi peluang dan mengelakkan aib terhadap pegawai berkenaan.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila dia terjumpa sebuah telefon bimbit yang didakwa disembunyikan dalam beg galas suaminya ketika dia sedang hamil. Pemeriksaan terhadap telefon itu membawa kepada penemuan mesej-mesej intim antara pegawai tersebut dengan wanita lain.

“Saya ambil nombor tu dan kenalkan diri, cakap baik-baik jangan berhubung lagi dengan suami.
Rupanya dia jadi lebih galak masuk mess (dewan makan) setiap kali nak melepak sama,” katanya kepada Malaysiakini.

Rahmat Tersembunyi

Zhane mendakwa, berdasarkan siasatan sendiri serta maklumat jiran di kompleks perumahan tentera, suaminya terlibat dengan sekurang-kurangnya tiga ‘gadis yeye’ ketika pesta yang diadakan di dalam pangkalan tentera di Johor.

Menurutnya, aktiviti tersebut didakwa berlaku dengan pengetahuan pegawai atasan kem. Usaha untuk melaporkan perkara itu melalui saluran rasmi juga tidak membuahkan hasil.

“Dari situ saya selidik dan jumpa bukti hal-hal berkait kegiatan tak bermoral.
Lama juga saya siasat hal keluar masuk aktiviti tak bermoral dalam kem, sebab saya sebagai isteri cuba nak membetulkan diri juga, nak memperbaiki keadaan.

“Tapi rupanya lebih banyak yang saya jumpa termasuk posting-posting jelik perempuan yeye yang dah tahu saya ni isteri, duduk lagi dalam kem, dia pula ada kebebasan keluar masuk mess pegawai. Siapa yang beri kebenaran? Kem kan kawasan larangan orang awam,” katanya.

Krisis perkahwinan mereka memuncak pada 2013 apabila Zhane berpura-pura pulang ke kampung untuk menangkap suaminya bersama seorang wanita yang didakwa terlibat dalam ‘parti yeye’. Insiden itu membawa kepada pergaduhan di dataran perbarisan kem sebelum berakhir dengan perceraian.

Zhane, yang kini telah berkahwin semula, menyifatkan pendedahan isu ‘parti yeye’ di media sosial sebagai rahmat tersembunyi kepada isteri dan keluarga tentera yang terkesan selama ini.

Dia mendakwa masalah itu berlarutan selama beberapa dekad meskipun banyak aduan dibuat, dan berharap Angkatan Tentera Malaysia serta Kementerian Pertahanan Malaysia dapat menghapuskan amalan tersebut sepenuhnya.

“Berpuluh tahun lamanya terjadi sampailah isu ini dibangkitkan dalam kalangan isteri dan pegawai muda tu sendiri. Kalau tak viral memang sampai sudah tak ada cara nak cegah.

“Whistleblower (pemberi maklumat) dalaman tu habis di situ saja. Malah kadang-kadang pengadu pula yang diancam,” katanya.

Tidak Semua Terlibat

Bagaimanapun, Zhane menegaskan tidak semua pegawai tentera terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu. Menurutnya, masih ramai pegawai yang berintegriti dan enggan menyertai budaya berkenaan walaupun berdepan tekanan.

“sebenarnya atas kepimpinan CO (pegawai memerintah) batalion tu sendiri. Dapat bos dan pengerusi yang berhemah, cakna kebajikan keluarga orang bawahan memang cukup besar rahmat dah.

“Semuanya terpulang kepada kepimpinan Komander Batalion. Jika anda mendapat bos yang baik dan mengambil berat tentang kebajikan pegawainya dan keluarga mereka, ia adalah satu rahmat.

“Kagat (Kor Agama Angkatan Tentera) sendiri tak diperkasakan sebagai jabatan yang boleh membendung isu budaya ni berlanjutan,” katanya.

Dia turut menggesa agar kebajikan keluarga tentera, termasuk selepas perceraian, diberi perhatian lebih serius.

Difahamkan, Malaysiakini telah menghubungi pihak Angkatan Tentera untuk mendapatkan maklum balas, manakala Kementerian Pertahanan mengarahkan siasatan dijalankan susulan dakwaan bahawa ‘parti yeye’ masih berlaku di dewan makan pegawai.



Sumber: Malaysia Kini

TERKINI

10 Rakyat Malaysia Dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0 Ditahan Tentera Zionis
|
Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia…
Pelajar Parah Dirempuh SUV Di SMK Tanjong Mas Dibenar Keluar Hospital
|
Pelajar perempuan tingkatan satu yang sebelum ini parah selepas…
Langgar Kereta Polis, Pacuan Empat Roda Ditembak Dua Das Sebelum Pemandu Ditahan
|
Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah…
Lelaki OKU Mental Didakwa Bunuh Bapa Di Baung Bayam
|
Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dihadapkan ke…
Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Jawatan Kosong Kelantan