Seorang buruh didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Machang selepas mengaku bersalah menghalang seorang anggota polis daripada menjalankan tugas ketika serbuan di Kampung Laklok, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Ariff Hakimi Che Ghani, 26, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Ariff Hakimi didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam, iaitu Sub Inspektor Mohmad Zulkifli Mat, daripada menjalankan tugas di hadapan sebuah rumah di Kampung Laklok pada jam 8.15 malam, 27 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nor Husniza Akmal Husain.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Rais Imran menegur tindakan tertuduh yang mengherdik anggota polis ketika mereka sedang menjalankan tugas.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira kepentingan awam.
Sementara itu, peguam bela merayu agar mahkamah mengenakan denda minimum dengan alasan tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
"Tertuduh yang masih bujang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM50 sehari dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya," katanya.
Mengikut fakta kes, Mohamad Ariff Hakimi bertindak agresif dengan menendang anggota polis ketika proses tangkapan dijalankan.
Semasa pemeriksaan badan dilakukan, tertuduh juga tidak memberikan kerjasama sebelum menjerit dengan mengeluarkan kata-kata "menate mu beruk" dan "menate polis babi" berulang kali terhadap anggota polis.
Sumber: Sinar Harian
