Hilang Sejak 2023, Wanita Ditemui Buta Dan Mengalami Kecederaan Serius

Seorang wanita berusia 29 tahun yang dilaporkan hilang sejak tahun 2023 akhirnya ditemui semula dalam keadaan menyedihkan selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan dan kurungan oleh teman lelakinya di Bandung, Indonesia.

Kisah tragis itu terbongkar selepas keluarganya menerima makluman bahawa wanita tersebut sedang menerima rawatan di hospital pada 10 Jun lalu.

Menurut laporan, ahli keluarga yang bergegas ke hospital terkejut apabila melihat keadaan mangsa yang sukar dikenali berbanding penampilannya sebelum ini.

Alami Kecederaan Serius Dan Hilang Penglihatan Sebelah Mata

Mangsa dilaporkan mengalami pelbagai kecederaan serius di seluruh badan termasuk jangkitan teruk pada mata kanan sehingga menyebabkan kehilangan penglihatan.

Selain itu, mata kirinya juga dilaporkan semakin mengecil dan mengalami gangguan penglihatan.

Lebih menyayat hati, bibir atas wanita tersebut mengalami kerosakan teruk sehingga menyerupai keadaan bibir sumbing akibat kecederaan yang dialaminya.

Mangsa turut mengalami pengumpulan nanah di bahagian kepala sehingga memerlukan pembedahan segera.

Difahamkan, dia juga berdepan kesukaran untuk berjalan dan bercakap selain mempunyai banyak parut pada badan yang dipercayai berpunca daripada kecederaan akibat dicucuh puntung rokok serta dipukul menggunakan objek tumpul.

Didakwa Dikurung Dan Didera Oleh Teman Lelaki

Berdasarkan keterangan yang diberikan mangsa, dia mendakwa sering dipukul dan didera oleh teman lelakinya sepanjang tempoh kehilangan tersebut.

Suspek dikatakan menggunakan tangan serta pelbagai objek seperti topi keledar dan parang untuk mencederakannya.

Bagi mengelakkan lokasi mereka dikesan pihak berkuasa atau keluarga mangsa, suspek dipercayai akan berpindah rumah sewa setiap tiga bulan.

Mangsa juga mendakwa lelaki berkenaan memperkenalkannya kepada orang sekeliling sebagai isterinya walaupun mereka sebenarnya tidak pernah bernikah.

Bermula Selepas Berkenalan Di Konsert Muzik

Menurut keluarga, wanita tersebut berkenalan dengan suspek ketika menghadiri sebuah konsert muzik pada tahun 2023.

Sebelum menghilangkan diri, mangsa sering pulang ke kampung sekurang-kurangnya sekali sebulan dan pernah membawa lelaki tersebut untuk diperkenalkan kepada keluarganya.

Namun tidak lama selepas hubungan mereka bermula, mangsa terputus hubungan secara tiba-tiba dan gagal dikesan.

Keluarga kemudiannya berusaha mencarinya di tempat kerja serta rumah sewa tetapi tidak menemui sebarang petunjuk.

Keluarga Dakwa Pernah Terima Ugutan

Dalam usaha mengesan mangsa, keluarga turut membuat hebahan di media sosial mengenai kehilangannya.

Bagaimanapun mereka mendakwa sering menerima ugutan dan desakan supaya semua hantaran berkaitan kehilangan wanita itu dipadamkan.

Menurut keluarga, mereka juga pernah menerima mesej dipercayai dihantar oleh mangsa yang berbunyi:

"Jangan cari-cari saya, saya dah besar."

Namun selepas penemuan mangsa di hospital, mereka percaya wanita itu berada di bawah kawalan dan pengaruh suspek sepanjang tempoh kehilangan tersebut.

Keluarga Mahu Pelaku Dihukum Setimpal

Keluarga berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap suspek.

Mereka mahu individu yang didakwa bertanggungjawab mengurung serta menganiaya mangsa selama hampir tiga tahun dikenakan hukuman setimpal supaya kejadian sama tidak berulang terhadap wanita lain pada masa hadapan.

Sumber: Kompas

SHARE:

TERKINI

Dua Beradik Ditahan Simpan Dadah Bernilai RM1.76 Juta Dalam Rumah Di Kuala Terengganu
|
Polis menahan dua beradik selepas disyaki menjadikan rumah mereka…
Rempuh Kenderaan PGA, Lelaki Ditahan Bersama Dadah Di Pasir Mas
|
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan selepas merempuh kenderaan…
UAI Tegur Suami Nikah Senyap-Senyap, Sah Di Sisi Syarak Tapi Tanggung Dosa Berpanjangan
|
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan bahawa perkahwinan…
Untung Bukan Keutamaan, Peniaga Di Kota Bharu Kekal Jual Nasi Lemak RM1
|
Tragedi kebakaran yang memusnahkan rumahnya pada 2021 tidak mematahkan…
Suspek Kes Culik Dua Lelaki Di Kelantan Ditahan Di Terengganu
|
Seorang daripada dua suspek yang dipercayai mendalangi kes penculikan…
BERSAMA Umum Bertanding Dalam Pilihan Raya Di Kelantan
|
Parti BERSAMA mengumumkan langkah memasuki arena politik Kelantan menerusi…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!