Seorang penduduk ternampak sebuah motosikal terbakar sebelum api merebak ke dua rumah dalam kejadian di Chabang Tiga Bagus, Rantau Panjang pada petang Khamis.
Kejadian sekitar jam 6.30 petang itu disedari Hairul Shariel Abdullah, 24, ketika dia melalui kawasan berkenaan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Menurut laporan Harian Metro, Hairul ternampak sebuah motosikal Yamaha Ego yang diletakkan di hadapan rumah sedang terbakar pada bahagian tempat duduk.
“Memandangkan keadaan jalan yang sempit, saya perlu mencari tempat sesuai untuk parkir kereta sebelum bergegas ke rumah terbabit.
“Sebaik tiba, saya lihat api sudah merebak ke bahagian hadapan rumah dan tidak berani untuk cuba memadamkannya, tambahan pula keadaan agak panik.
“Saya segera menghubungi bomba dan berasa agak lega kerana dimaklumkan tiada penghuni dalam dua rumah terbabit ketika itu,” katanya.
Sebuah Rumah Musnah Sepenuhnya
Menurut maklumat dikongsikan Facebook rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, pihak bomba menerima panggilan melalui NG999 pada jam 6.40 petang.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, BBP Pasir Mas dan BBP Tunjong digerakkan ke lokasi sejauh 2.6 kilometer.
Pasukan bomba tiba pada jam 6.48 petang dan mendapati kebakaran melibatkan dua buah rumah.
Rumah pertama merupakan struktur separuh kekal berkeluasan kira-kira 50 kaki kali 70 kaki persegi yang musnah sepenuhnya.
Rumah kedua pula merupakan bangunan kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 50 kaki kali 60 kaki persegi dan mengalami kemusnahan sekitar 70 peratus.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Razali Che Mohd Noor dengan kekuatan 22 anggota.
Kebakaran Dikawal Jam 7.50 Malam
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.50 malam sebelum kerja-kerja membasmi bara dan pemeriksaan lanjut dijalankan.
Sebanyak tiga jentera Fire Rescue Tender, sebuah lori tangki air, sebuah Mitsubishi Triton dan sebuah Toyota Hilux digunakan dalam operasi tersebut.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu kerana kedua-dua rumah tidak berpenghuni ketika kebakaran berlaku.
Sementara itu, Ketua BBP Rantau Panjang, Hamzah Musa berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sumber: Harian Metro, JBPM Negeri Kelantan
