Kes Diabetes Di Kelantan Catat Penurunan Ketara, Kesedaran Makin Meningkat

Rakyat Kelantan dinasihatkan supaya terus mengurangkan pengambilan makanan manis bagi mengekang dan menurunkan lagi angka pesakit diabetes di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dato' Dr Mohd Azman Bin Yacob, berkata berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), prevalen diabetes di Kelantan menunjukkan penurunan ketara.

Menurutnya, peratusan pesakit diabetes di Kelantan menurun daripada 19.5 peratus pada tahun 2019 kepada 16.3 peratus pada 2023.

“Persepsi rakyat Kelantan gemar makanan manis itu masih ada, tetapi dari segi pengambilan sebenar, ia semakin berkurangan terutama melibatkan kuih-muih tradisional.

“Kelantan memang terkenal dengan makanan atau masakan manis suatu ketika dulu, namun kini kesedaran itu sudah wujud,” katanya ketika sidang media hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan amalan pengambilan makanan bergula masih perlu dikawal dari segi kuantiti dan kekerapan, bukannya dihentikan secara total.

“Kalau makan kuih jala emas atau tahi itik sekarang pun sudah tidak semanis dulu kerana kesedaran semakin meningkat, tetapi masih perlu dipertingkatkan lagi,” katanya.

Dr Mohd Azman turut memaklumkan kumpulan umur paling tinggi dikesan menghidap diabetes di Kelantan adalah dalam lingkungan usia 60 hingga 75 tahun.

Terdahulu, beliau merasmikan Fun Walk Amal Generasiku Sayang (GKS) Kelantan bersama Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Program anjuran Persatuan GKS dan JKNK dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat itu disertai seramai 1,100 peserta yang berjalan kaki sejauh 3.1 kilometer di sepanjang Pantai Tujuh dan Pantai Geting.

Menurut beliau, antara faktor utama penyumbang kepada diabetes ialah pemakanan tidak sihat yang menyebabkan berat badan tidak ideal, kurang aktiviti fizikal serta amalan merokok.

Sehubungan itu, kempen ‘War On Sugar’ akan terus dipergiatkan oleh JKNK bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengurangkan pengambilan makanan bergula mengikut sukatan yang dibenarkan.

“Penubuhan Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa juga memberi manfaat besar dalam mendidik pesakit kronik khususnya diabetes dan darah tinggi berkaitan pemakanan yang betul.

“Pesakit turut didedahkan dengan kaedah senaman mengikut usia, pengurusan stres serta kepentingan tidur yang mencukupi,” katanya.

Beliau berharap penganjuran program seumpama itu dapat menyuntik semangat masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat, walaupun hanya dengan aktiviti asas seperti berjalan kaki.



Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jalan Kuala Krai–Gua Musang Ditutup Sementara 28 Julai Bagi Kerja Letupan Batu
|
Pengguna Jalan Persekutuan FT08 yang merancang perjalanan antara Kuala…
Kereta Berisi Bom Meletup Di Balai Polis Narathiwat
|
Sebuah kereta yang dipasang bahan letupan menggegarkan kawasan Balai…
Kanak-Kanak Perempuan Dua Tahun Maut Dirempuh Lori Dipandu Datuk Sendiri
|
Suasana tenang di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuang,…
Projek Solar LSS5 Pasir Mas Mampu Bekalkan Elektrik Kepada 75,000 Rumah
|
Kelantan bakal melakar satu lagi pencapaian dalam pembangunan tenaga…
Lima Anggota Renjer Thailand Maut Dalam Serangan Hendap Di Narathiwat
|
Lima anggota Renjer Tentera Thailand terbunuh dalam satu serangan…
HRPZ II Bakal Terima Makmal Patologi Baharu Bernilai RM175 Juta
|
Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!