Datuk 61 tahun ini mendaki Bukit Panau setiap minggu untuk kutip sampah

Demi memastikan kawasan pendakian Bukit Panau kekal bersih dan terpelihara, seorang datuk kepada tiga cucu sanggup mendaki bukit setinggi 396 meter itu setiap minggu semata-mata untuk mengutip sampah yang ditinggalkan pendaki lain.

Menurut laporan Sinar Harian, Nik Muhammad Adib Nik Mustapa, 61, akan melalui laluan hampir lima kilometer dari kaki bukit ke puncak sebelum turun semula sambil mengutip botol minuman, plastik makanan dan pelbagai sisa yang ditinggalkan pengunjung, terutama pada hujung minggu.

Guru tuisyen Matematik sepenuh masa itu berkata, rutin membersihkan Bukit Panau sudah dilakukannya sejak 2015, hasil didikan datuk dan neneknya yang menekankan kebersihan sebagai sebahagian daripada akhlak hidup.

“Saya diajar kecil-kecil dulu, kalau tengok sampah jangan biar.

“Di Bukit Panau ni ramai datang melihat keindahan alam termasuk awan karpet, tapi tak segan tinggalkan botol dan plastik merata, jadi saya kutip setakat yang mampu,” katanya selepas menerima Anugerah Ikon Kebersihan Komuniti sempena Hari Sambutan Kelantanku Bersih 2025 di Kota Darulnaim pada Ahad.

Menurut Nik Muhammad Adib, beliau memilih untuk mendaki pada hari Jumaat, Sabtu dan ketika cuti sekolah, sekitar jam 10 pagi hingga 12 tengah hari selepas kebanyakan pendaki selesai mendaki pada awal pagi.

Setiap minggu, beliau mampu mengumpul sehingga empat plastik sampah bersaiz besar, dengan botol minuman plastik, pembalut makanan dan sisa barangan pendaki menjadi antara yang paling kerap ditemui di sepanjang laluan.

Lebih menyedihkan, katanya, beliau sendiri menyediakan 24 tong sampah di laluan pendakian namun dua daripadanya hilang manakala satu lagi rosak teruk, dipercayai akibat perbuatan vandalisme.

“Kadang-kadang saya tak faham, tong sampah pun ada yang sanggup rosakkan.

“Tapi saya tak putus asa, saya buat sambil bergembira dan bernyanyi bersama radio selain anggap ini sebagai ibadah,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu juga tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan menegaskan apa yang dilakukan bukan untuk meraih pujian atau penghargaan.

“ALLAH itu bersih, suka kebersihan, kecantikan dan kita wajib jaga pemberian ALLAH ini,” katanya.



Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
Jawatan Kosong Kelantan