Seorang lelaki berusia 58 tahun, Sharuddin Basir, merayu supaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyegerakan proses permohonan kad pengenalannya yang tertangguh sejak puluhan tahun.
Sharuddin mendakwa dia tidak pernah memiliki kad pengenalan sejak berusia 12 tahun dan permohonannya terus tergantung disebabkan masalah dokumentasi keluarga.
Menurutnya, segala-galanya bermula apabila sijil kelahiran yang dimilikinya tidak lengkap.
"Sewaktu lahir, arwah bapa berada di Sabah dan tidak boleh balik atas sebab-sebab tertentu. Arwah emak pula buta huruf dan tak dapat uruskan pendaftaran kelahiran dengan sempurna.
Ini menyebabkan sijil kelahiran tidak lengkap kerana tidak diletakkan nama saya, tetapi nama ibu bapa lengkap direkodkan," katanya.
Ketika itu, JPN tetap mengeluarkan sijil kelahiran tersebut.
Namun apabila Sharuddin cuba memohon kad pengenalan pada usia 12 tahun, permohonannya tidak dapat diproses kerana maklumat penting tidak lengkap.
JPN hanya mengeluarkan kad pengenalan sementara untuk kegunaannya sewaktu bersekolah.
Sejak remaja, Sharuddin berkata dia sudah empat kali membuat permohonan IC tetapi semua berakhir dengan keputusan sama.
"Saya anak sulung daripada empat beradik, namun hanya saya seorang menghadapi masalah dan tidak mempunyai kad pengenalan.
Setiap kali memohon, saya perlu mengeluarkan belanja kira-kira RM100 untuk berulang alik ke JPN, malah banyak prosedur perlu dilalui termasuk angkat sumpah, pengesahan penghulu serta mencari saksi, namun keputusannya tetap sama," katanya.
Permohonan terakhir dibuat pada Februari lalu, termasuk menjalani ujian DNA, namun sehingga kini dia belum menerima sebarang maklum balas.
Sharuddin berkata ketiadaan IC memberi kesan besar dalam hidupnya dari zaman sekolah, urusan perkahwinan, sehingga peluang bekerja.
"Selain itu, masalah berkenaan juga menyebabkan hidup saya terbatas dalam hampir semua urusan rasmi termasuk tidak boleh memiliki lesen memandu, tidak dapat mengundi setiap kali pilihan raya, sukar memohon bantuan kebajikan, dan tidak dapat mengeluarkan simpanan KWSP walaupun pernah bekerja di bawah anak syarikat PNB beberapa tahun lalu."
Kini Sharuddin bekerja sebagai pesawah untuk menyara keluarga, namun tetap berharap haknya sebagai rakyat Malaysia dipulihkan.
"Saya rakyat Malaysia, saya cuma nak hak sebagai warganegara dan berharap sangat dapat kad pengenalan supaya tiada masalah di kemudian hari," katanya.
Beliau merayu agar JPN menyemak semula rekod permohonan terdahulu dan menamatkan kemelut yang membelenggunya sejak zaman remaja.
Sumber: Harian Metro
