Rakyat Kelantan dinasihatkan supaya tidak terburu-buru turun mendulang emas susulan pengumuman kebenaran aktiviti itu baru-baru ini.
Menurut Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, proses kelulusan lesen serta garis panduan masih lagi di peringkat penilaian.
Beliau berkata walaupun kerajaan negeri telah bersetuju untuk membuka peluang rakyat mengusahakan perlombongan emas secara mendulang, permohonan lesen tetap perlu dibuat dan belum ada satu pun lesen dikeluarkan setakat ini.
“Sekarang ini, lesen (mendulang emas) pun belum dikeluarkan lagi, kita baru di peringkat penilaian dan kajian.
“Kerajaan (negeri) cuma bersetuju supaya aktiviti itu dijalankan dan kita akan beri lesen tapi sekarang ini, ia dalam proses. Selagi lesen tak dikeluarkan, tak boleh mendulang, bersabar dulu,” katanya kepada pemberita.
Pengumuman awal mengenai kebenaran mendulang emas dibuat bagi memberi ruang kepada penduduk mencari pendapatan tambahan, dan kerajaan negeri akan mempermudahkan urusan berkaitan lesen tersebut.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan sebelum ini memaklumkan bahawa garis panduan penuh dijangka diumumkan dalam tempoh dua minggu.
Bercakap dalam satu majlis menandatangani perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah berjumlah RM300 juta antara Permodalan Kelantan (PKB) dan Maybank Investment Bank, Mohd Nassuruddin sekali lagi mengingatkan rakyat supaya menunggu sehingga proses selesai.
“Buat masa ini, saya minta rakyat bertenang dan tunggu dulu.
“Lesen belum dikeluarkan dan kajian masih berjalan,” katanya.
Dalam masa sama, aktiviti mendulang terutama di kawasan pedalaman seperti Gua Musang, Jeli dan Tanah Merah semakin mendapat perhatian hingga mendorong peningkatan jualan dulang emas dari kayu merbau.
BACA: ‘Starter pack’ untuk jadi pendulang emas di Kelantan, ini yang perlu anda tahu
BACA: Penduduk kurang senang berduyun orang luar datang mendulang emas
BACA: Kelantan cadang beri lesen mendulang emas kepada pelancong luar
KD: Nampaknya ramai terlalu semangat nak turun sungai awal-awal. Elok tunggu garis panduan lengkap dulu, takut nanti kena tindakan sebab tak ada lesen.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro
