Taktik ‘angkat tangan’ lepas imigresen gagal, 8 individu ditahan

KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan masih wujud taktik lama digunakan oleh pihak tertentu termasuk penjawat awam untuk menyeberangi sempadan Malaysia–Thailand tanpa dokumen perjalanan sah, hanya dengan mengangkat tangan ketika melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata taktik tersebut terbongkar selepas pihaknya menahan lapan individu termasuk dua wanita pada Selasa lalu, selepas mereka didapati memasuki Kelantan tanpa dokumen sah melalui ICQS Rantau Panjang.

Menurut beliau, semua individu terbabit menaiki dua kereta dan ditahan oleh anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM) ketika dalam perjalanan dari Sungai Golok, Thailand, menuju ke Kelantan kira-kira jam 5.30 petang.

“Siasatan mendapati mereka masuk ke pekan Sungai Golok melalui laluan VIP selepas pemandu mengangkat tangan kepada pegawai bertugas di ICQS Rantau Panjang sebagai isyarat untuk melintas,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, kejadian itu membuktikan bahawa kaedah mengangkat tangan untuk melepasi sempadan tanpa dokumen sah masih digunakan, terutamanya oleh segelintir pegawai kerajaan dari dalam dan luar negeri ini.

Katanya, kebanyakan mereka menggunakan laluan khas ‘VIP lane’ untuk keluar masuk ke Thailand dengan menaiki kereta mewah atau sedan atas pelbagai alasan seperti mahu bersantai, menjamu selera atau urusan perniagaan.

“Ada juga yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa bagi mendapatkan pelepasan hanya dengan mengangkat tangan tanpa menyerahkan dokumen perjalanan sah sebelum masuk dan keluar dari Thailand,” katanya.

Mohd Yusoff menegaskan, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan tindakan boleh diambil mengikut Akta Imigresen yang memperuntukkan denda atau hukuman penjara.

Beliau turut mengingatkan anggota bertugas di kawasan sempadan supaya menjalankan tugas dengan tegas dan berintegriti, selain memastikan semua pelintas sempadan mematuhi peraturan yang ditetapkan.



“Selain laluan VIP, ada juga individu yang sanggup menggunakan laluan kenderaan berat atau lori untuk menyeberangi sempadan,” katanya.

#KelantanDaily
Sumber: Berita Harian

TERKINI

Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
[VIDEO] Risau Keselamatan Pelajar, Individu Sukarela ‘Trim’ Pokok Halang Laluan Pejalan Kaki
|
Tindakan seorang individu yang secara sukarela membersihkan laluan pejalan…
Pemandu Sambilan Didakwa Edar Dadah Sintetik Hampir 570kg
|
Seorang pemandu sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh…
Rumah Macam Zoo, Usahawan Turut Pelihara 6 Ekor Buaya Di Rumah
|
Seorang usahawan ternakan di Sungai Sikamat, Kajang, mendakwa sering…
Jual Lokcing Sambil Seludup Petrol, Terima Upah RM10 – RM15 Satu ‘Trip’
|
Seorang penjual lokcing warga Thailand dipercayai menjadikan aktiviti menyeludup…
Jawatan Kosong Kelantan