Kanak-kanak 11 tahun terpaksa berhenti sekolah, jaja telur puyuh bantu sara keluarga

TUMPAT – Pada usia 11 tahun, ketika rakan sebaya sibuk ke sekolah, Muhammad Adib Syafiq Wahid sudah menggalas tanggungjawab besar menyara ibu dan tiga adik-beradiknya dengan menjaja telur puyuh rebus setiap hari.

Kanak-kanak dari Kampung Tujoh itu terpaksa berhenti sekolah sejak tiga bulan lalu selepas bapanya ditahan pihak berkuasa pada April lalu atas kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Setiap hari, Syafiq berjalan kira-kira dua kilometer dari rumahnya ke Pantai Geting sambil membawa 200 hingga 500 biji telur puyuh rebus yang dijual pada harga RM3 untuk tujuh biji, lengkap dengan sebotol kicap sebagai pencicah.

Ibunya, Salama Muda, 44, berkata keadaan hidup yang mendesak memaksa anak ketiganya itu bekerja demi kelangsungan keluarga.

“Sejak itu, Syafiq menjadi tulang belakang kami kerana saya tidak boleh keluar bekerja. Masih ada dua anak kecil berusia dua dan empat tahun untuk dijaga.

“Lagipun kami tiada sebarang kenderaan selain basikal, namun itupun sudah rosak menyebabkan Syafiq terpaksa berjalan kira-kira dua kilometer dari rumah ke Pantai Geting.

“Setiap hari kami akan membeli sekitar 200 hingga 500 biji telur puyuh dari jiran sebelum direbus dan dijual oleh Syafiq,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Menurut Salama, anak sulungnya berusia 20 tahun bekerja di sebuah kedai makan di Pasir Mas dan hanya pulang sekali-sekala untuk menjenguk mereka sekeluarga.

“Bukan saya tidak melarang Syafiq menjaja, tetapi keadaan memaksa. Dia selalu kata, kalau bukan dia yang kerja, siapa yang akan beri kami wang untuk beli makanan?

“Saya hanya berharap suami dapat dibebaskan segera dan Syafiq dapat kembali bersekolah kerana usianya masih terlalu muda untuk menanggung keluarga,” katanya.

Salama berkata, jika mempunyai sedikit modal atau kenderaan, dia bercadang untuk menjual kuih-muih di sekitar kampung sebagai sumber pendapatan tetap.

“Buat masa sekarang, hasil jualan telur puyuh hanya cukup untuk perbelanjaan harian dan sedikit disimpan untuk sewa rumah.

“Kerap juga kami terputus makanan dan Syafiq akan memancing ikan di paya berhampiran. Kalau ada mi segera, saya akan masak sampai kembang supaya cukup untuk kami berlima,” katanya.



Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Salama di talian 011-2538 3705 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Mahabah Asnaf Society, 03072010143853.

#KelantanDaily
Sumber: Berita Harian, Harian Metro

TERKINI

Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
[VIDEO] Risau Keselamatan Pelajar, Individu Sukarela ‘Trim’ Pokok Halang Laluan Pejalan Kaki
|
Tindakan seorang individu yang secara sukarela membersihkan laluan pejalan…
Jawatan Kosong Kelantan