KUALA LUMPUR, 15 Okt – Proses lelongan membabitkan kereta mewah dan lebih 700 barangan peribadi milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida dijadual berlangsung pada 30 Oktober ini, selepas tertangguh sejak Disember tahun lalu, lapor Harian Metro
Menurut notis perisytiharan jualan lelong yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan hari ini, lelongan berkenaan dilaksanakan oleh pemiutang, AH Design Communication Sdn Bhd, terhadap Datuk Seri Vida.
Tindakan itu diambil susulan kegagalan Vida melunaskan bayaran tertunggak kepada syarikat subkontraktor berkenaan serta kegagalan mencapai penyelesaian atau penangguhan lelongan, yang diminta hampir setahun atas alasan barangan disita merupakan barangan pinjaman.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan proses lelongan perlu diteruskan selepas pihak Vida gagal mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong permohonannya.
Terdahulu, sekitar 727 barangan peribadi milik usahawan itu disita dalam operasi selama lima jam di banglo mewahnya di Ipoh pada 25 November tahun lalu, selepas beliau gagal menjelaskan bayaran tertunggak kepada AH Design Communication yang berjumlah lebih RM1 juta sejak 2018.
Antara barangan yang disita termasuk empat buah kereta mewah, serta pelbagai kelengkapan rumah seperti pembakar roti jenama Sharp, penapis air Coway, meja solek dan peti sejuk.
Acara lelong sepatutnya diadakan pada 9 Disember tahun lalu, namun ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Vida menangguhkan proses berkenaan.
#KelantanDaily
Sumber: Harian Metro
