KOTA BHARU – Polis Kelantan meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan berlakunya banjir lebih awal tahun ini berikutan fenomena cuaca La Nina, dengan semua anggota serta aset termasuk bot polis berada dalam keadaan bersedia menjelang Monsun Timur Laut.
Langkah persediaan itu turut melibatkan pemindahan segera balai polis berisiko banjir, termasuk pemindahan senjata api, peralatan pejabat dan dokumen penting ke lokasi lebih selamat bagi mengelak kerosakan atau kehilangan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata persiapan awal dilakukan hasil mesyuarat bersama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta makluman kepada semua ketua polis daerah di seluruh negeri.
“Walaupun banjir berlaku setiap tahun, kami bersedia menghadapi apa jua kemungkinan, termasuk banjir lebih awal yang dijangka berlaku tahun ini.
Pengalaman tahun lalu menunjukkan beberapa balai dan pondok polis ditenggelami air menyebabkan anggota terpaksa berpindah untuk memastikan operasi keselamatan tidak terganggu,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya kini mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua anggota, aset, senjata api, peralatan dan bot polis sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Persiapan turut melibatkan pengurusan logistik balai polis, penyelenggaraan aset serta koordinasi dengan agensi lain bagi memastikan operasi keselamatan berjalan lancar walaupun dalam situasi banjir.
“Inisiatif ini bukan sahaja memastikan kelancaran operasi polis, tetapi juga menjaga keselamatan awam di kawasan terjejas banjir,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk 2025/2026, yang berpotensi mempengaruhi corak hujan negara.
Menurut Pusat Iklim Nasional, tinjauan jangka panjang dari September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) kini neutral dengan kebarangkalian 56 peratus kekal sehingga Oktober ini.
Pada Disember tahun lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerugian akibat banjir membabitkan bangunan, kenderaan serta peralatan teknologi maklumat dan komunikasi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan dianggarkan bernilai RM1.55 juta.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
