Hakisan Makin Teruk Di Pantai Semerak, Penduduk Bimbang Kampung Lenyap Selamanya

Musim Monsun Timur Laut (MTL) yang masih berlarutan terus menghantui penduduk di beberapa kawasan pesisir pantai di Semerak, Pasir Puteh, apabila hakisan pantai dilaporkan semakin teruk dan berisiko menghapuskan penempatan mereka.

Pantai Bisikan Bayu, Kampung Dalam Rhu dan Pantai Pachakan berdepan ancaman hakisan serius sejak hampir lima tahun lalu, sehingga dikhuatiri boleh lenyap daripada peta Kelantan sekiranya tiada tindakan segera diambil.

Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila jarak antara pantai dan daratan kini tinggal kurang 10 meter di beberapa lokasi, ditambah pula dengan fenomena air pasang besar setiap kali MTL yang mempercepatkan lagi proses hakisan.

hakisan di Pantai Semerak



Kesan hakisan bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk, malah menjejaskan mata pencarian mereka yang bergantung kepada aktiviti ekonomi pesisir seperti pengusahaan keropok, inap desa, chalet serta gerai jualan makanan.

Penduduk Kampung Dalam Rhu, Ezza Ezaty Rofi, 32, berkata rumahnya yang sebelum ini terletak lebih 500 meter dari pantai kini hanya berjarak kurang 50 meter.

“Apabila tiba musim air pasang dan ombak besar, saya, suami serta tiga anak sukar untuk tidur malam kerana bimbang rumah kami dihanyutkan ombak.

“Pada Disember lalu, air melimpah sehingga ke depan rumah, malah mencecah jalan utama. Baru-baru ini rumah kami nyaris roboh selepas ditimpa pokok kelapa yang tumbang akibat hakisan,” katanya.

“Paling Buruk Dalam 30 Tahun”

Sementara itu, penduduk Pantai Pachakan, Shamsul Shafei, 39, menyifatkan hakisan yang berlaku pada musim MTL kali ini sebagai yang paling teruk dalam tempoh 30 tahun.

Menurutnya, beberapa buah rumah dan kedai pemprosesan keropok telah ditelan laut dan kini hanya sekitar lima buah premis sahaja yang masih bertahan.

“Kami risau jika tiada tindakan segera diambil, Pantai Pachakan dan Bisikan Bayu mungkin hanya tinggal nama, selebihnya hilang akibat dibadai laut.

“Hakisan ini sudah berlarutan hampir lima tahun. Kami tidak mahu pantai ini menerima nasib seperti Pantai Sabak di Kota Bharu,” katanya.

Shamsul berkata, ketika usia remajanya dahulu, jarak pantai ke kawasan penempatan penduduk melebihi satu kilometer, namun kini hanya tinggal beberapa meter sahaja.

Seorang peniaga di Pantai Bisikan Bayu, Kamran Awang Noh, 56, berkata gerai jualan jagung dan satar miliknya kini hanya menunggu masa untuk tumbang akibat hakisan yang semakin menghampiri.

Menurutnya, jarak pantai dari gerainya kini kurang 10 meter berbanding lebih 100 meter sebelum ini.

“Disember lalu, kejadian air pasang paling teruk berlaku. Kalau dahulu musim tengkujuh tidak begitu terkesan, tapi sekarang sejak awal lagi ombak besar sudah menghentam.

“Kami bimbang jika keadaan ini berlarutan, tidak mustahil gerai saya akan hilang dalam masa terdekat,” katanya.

Penduduk di Pantai Bisikan Bayu, Kampung Dalam Rhu dan Pantai Pachakan di Semerak kini berharap pihak berkuasa dapat segera membina benteng pemecah ombak bagi mengekang hakisan daripada terus merebak.

Peniaga keropok, Mat Hassan Mat Ali, 64, berkata berdasarkan situasi semasa, tidak mustahil kedai pemprosesan keropok miliknya yang diusahakan sejak lima tahun lalu akan lenyap dibadai ombak.

“Kami berharap benteng pemecah ombak sejauh satu kilometer dapat dibina bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan dan kerugian berlaku.

“Hakisan yang berlaku sekarang telah melenyapkan tempat jemuran keropok dan ikan, menyebabkan kami terpaksa pindahkan ke lokasi lain,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Luqman Mohd Noor, 31, berkata rumah yang didiaminya hampir sedekad runtuh pada November lalu akibat fenomena air pasang besar.

“Masalah hakisan ini sudah lama berlaku dan ia semakin teruk. Jika dilihat sekarang, hanya pembinaan benteng pemecah ombak seperti di kawasan Bachok mampu menyelamatkan keadaan di sini.

“Sekurang-kurangnya ia dapat memperlahankan hakisan daripada terus berlaku, bukannya seperti sekarang sehingga menjejaskan kecantikan pantai dan kediaman penduduk,” katanya.

Penduduk setempat berharap projek pencegahan hakisan pantai dapat dilaksanakan segera bagi menyelamatkan kawasan pesisir berkenaan daripada terus terhakis dan akhirnya terhapus.



Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Lebuh Raya KBKK Capai 71.4 Peratus Siap, Dijangka Beroperasi Sepenuhnya 2027
|
Projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) kini…
Murid SJKC Di Kota Bharu Cipta Kejutan Muncul Johan Tilawah Al-Quran
|
Ramai mungkin tidak menyangka seorang murid dari Sekolah Jenis…
Penunggang Motosikal Maut Dihempap Pokok Pulai Berusia Lebih 200 Tahun Ketika Ribut
|
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap sebatang…
Thailand Rampas 750 Liter Petrol Malaysia Disyaki Baru Diseludup Di Sungai Golok
|
Pihak berkuasa Thailand terus memperketat kawalan di sempadan apabila…
MPKB-BRI Tolak Rayuan, Penganjur Disko Retro Kekal Kena Kompaun RM30,000
|
Penganjur majlis disko retro bertemakan hippie ala 60-an dan…
Lombong Haram Di Gua Musang Diserbu, Tujuh Jentera Bernilai RM4 Juta Disita
|
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan menyita tujuh jentera…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!