HULU TERENGGANU – “Dia pernah beritahu cita-citanya nak syahid di Gaza tetapi sebagai ibu, saya tetap berdoa agar dia pulang dengan selamat.”
Demikian luahan pilu Nooraini Mamat, 59, ibu kepada aktivis kemanusiaan, Muhammad Abdullah, 32, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kechik, yang kini disahkan ditahan secara tidak sah oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Nooraini, sebelum berangkat, anak keempat daripada enam beradik itu pernah meluahkan impiannya untuk berjuang demi rakyat Palestin dan tidak menolak kemungkinan meraih syahid di bumi bergolak tersebut.
“Sejak hari pertama dia berangkat, saya siang malam berdoa minta Allah selamatkan dia.
Ustaz Mad ni berjiwa besar, kalau dia mahukan sesuatu, insya-Allah dia akan usahakan sampai jadi.
Apa sahaja yang dia nak lakukan, dia pasti maklumkan kepada saya termasuk apabila dijemput memberi ceramah,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Dura, di sini, hari ini.
Noraini berkata, dia reda dengan segala kemungkinan tetapi tetap mendoakan keselamatan anaknya setiap hari.
“Kali terakhir kami berhubung pagi tadi melalui WhatsApp. Dia kirim mesej minta saya doakan keselamatannya sebab katanya doa ibu itu mustajab,” ujarnya sebak.
Tambahnya, Muhammad yang juga Pengasas Madrasah Darul Zahraa Wal Tahfizil Quran bukan asing dengan kerja-kerja kebajikan, malah sebelum ini pernah terbabit dalam pelbagai misi kemanusiaan ke Syria, Sabah dan Kemboja.
“Dia memang suka membantu orang susah. Kalau boleh, saya mahu dia selamat pulang. Tapi kalau ditakdirkan syahid, saya reda. Harapan saya cuma satu, semoga dia sempat menghantar bantuan makanan kepada rakyat Gaza sebelum kembali ke tanah air,” katanya.
Terdahulu, Sumud Nusantara Official mengesahkan penahanan beberapa aktivis Malaysia termasuk Muhammad, aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan Zainal Rashid Ahmad (ZRA), serta pelakon dan aktivis Ardell Aryana.
Melalui satu rakaman video, Ardell merayu agar kerajaan segera menggerakkan usaha menyelamat kesemua aktivis terbabit.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, sebagai simbol solidariti antarabangsa bagi memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza.
Dalam perkembangan terbaru, kesemua 500 aktivis GSF tidak berjaya sampai ke Gaza apabila ditahan pihak Israel. Mereka akan dihantar pulang melalui negara ketiga dalam masa terdekat.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
