Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said Meninggal Dunia Pada Usia 91 Tahun

Dunia kesusasteraan tanah air kehilangan seorang tokoh besar apabila Sasterawan Negara keempat, Datuk Seri A Samad Said, meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 6.05 petang tadi.

Berita pemergian tokoh yang mesra disapa sebagai Pak Samad itu disahkan anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi satu perkongsian di Threads.

Dalam perkongsian ringkas tersebut, beliau menulis, 'Innalillahi wainnailaihi rojiun'.

Sebelum Ini Dirawat Di HKL

A Samad Said sebelum ini dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur pada petang semalam selepas mengalami sakit tua.

Allahyarham turut dilaporkan menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi anak Allahyarham memaklumkan keluarga sedang menguruskan urusan pengebumian.

"Ayah saya, A Samad Said telah meninggal dunia dan keluarga kami sedang menguruskan pengebumian Allahyarham.

"Saya akan berkongsi maklumat lanjut sebaik sahaja maklumat baru ada," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Jasa Besar Dalam Kesusasteraan Melayu

Pemergian Pak Samad bukan sekadar kehilangan seorang pengarang prolifik, malah meninggalkan sumbangan besar dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden.

Allahyarham dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura dari 1940 hingga 1946 sebelum melanjutkan pelajaran di Victoria Institution.

Pak Samad kemudian memperoleh Sijil Senior Cambridge pada 1956.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangunan Sastera di The New Straits Times Press (NSTP) dan mengetuai Berita Harian.

Bagaimanapun, pada 1987, beliau melepaskan jawatan Pengarang Sastera untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang penulisan dan kesusasteraan.

Pemergian Allahyarham pastinya meninggalkan kesan besar kepada dunia sastera negara yang sekian lama disinari karya dan pemikirannya.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!