Projek pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh terus menunjukkan perkembangan apabila Stadium Utama Bukit Merbau mencatat kemajuan sebanyak 54.05 peratus setakat November 2026.
Projek berkenaan menjadi antara pembangunan penting bagi persediaan Kelantan sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Kelantan, YTM Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra yang berkenan berangkat mencemar duli ke tapak Projek Madinah Al-Riadah Kompleks Sukan Bukit Merbau, pada 22 November.
Foto: UPKN Kelantan
Keberangkatan baginda adalah bagi meninjau perkembangan semasa projek berkenaan, termasuk pembinaan Stadium Utama Bukit Merbau.
Ketibaan baginda di tapak projek diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.
Dalam lawatan itu, baginda turut dipersembahkan taklimat oleh Ketua Pengarah Kerja Raya mengenai perkembangan pembinaan sebelum berangkat meninjau kawasan Lapang Sasar Menembak.
Stadium Utama disasar siap Jun 2027
Menurut Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad, lawatan berkenaan dimulakan dengan tinjauan ke tapak pembinaan Stadium Utama Bukit Merbau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Kerja Raya (JKR), agensi berkaitan, kontraktor serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembangunan projek berkenaan.
"Kerajaan Negeri juga akan terus memberikan perhatian terhadap perkembangan projek ini agar setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
"Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita berharap pembangunan Madinah Al-Riadhah dapat disiapkan mengikut jadual serta menyediakan kemudahan sukan yang memberi manfaat kepada atlet dan seluruh rakyat negeri ini," katanya.
Foto: Zamakhshari Muhamad
Berdasarkan status kemajuan projek setakat November 2026, Stadium Utama Bukit Merbau merekodkan kemajuan 54.05 peratus dan disasarkan siap pada 24 Jun 2027.
Status projek lain di Kompleks Sukan Bukit Merbau
Selain stadium utama, pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau turut merangkumi beberapa kemudahan sukan lain.
Antaranya ialah Lapang Sasar Menembak yang mencatat kemajuan 62.31 peratus dengan sasaran siap pada 19 April 2027.
Foto: Zamakhshari Muhamad
Stadium Hoki pula merekodkan kemajuan 35.61 peratus dan dijangka siap pada 7 Jun 2027.
Sementara itu, Arena Tertutup Serbaguna mencatat kemajuan 27.26 peratus dengan sasaran siap pada 6 September 2027.
Pusat Skuasy dan Gelanggang Lawn Bowl Berbumbung pula mencatat kemajuan keseluruhan 34.34 peratus dan disasarkan siap pada 7 Jun 2027.
Bagi kerja tanah Kompleks Sukan Bukit Merbau yang melibatkan kos RM68 juta, projek itu dilaporkan siap sepenuhnya pada 18 Ogos 2026.
Tiga projek utama persiapan SUKMA 2028
Pembangunan kemudahan sukan bagi persiapan SUKMA 2028 di Kelantan turut melibatkan dua lokasi lain selain Kompleks Sukan Bukit Merbau.
Pusat Akuatik Tunjong di Kota Bharu mencatat kemajuan 42 peratus dan disasarkan siap pada 2 Ogos 2027.
Manakala Kompleks Sukan Bandar Jeli merekodkan kemajuan paling tinggi antara projek yang disenaraikan, iaitu 90.35 peratus dan dijangka siap pada 31 Disember 2026.
Secara keseluruhan, pembangunan Madinah Al-Riadah dan kemudahan sukan di beberapa lokasi berkenaan menjadi antara persiapan penting Kelantan bagi menyediakan prasarana untuk penganjuran SUKMA 2028.
