Bomba Waspada Air Pasang Besar Malam Ini, Tujuh Kampung Di Sabak Sudah Dinaiki Air

Penduduk di sekitar Sabak, Pengkalan Chepa diminta berwaspada apabila beberapa kawasan dilaporkan dinaiki air sehingga 0.5 meter menjelang fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Faizol Hisham Abdullah berkata, pihaknya kini dalam keadaan bersiap siaga menghadapi kemungkinan paras air meningkat.

Menurutnya, pemantauan sekitar jam 2 petang Ahad mendapati tujuh kampung serta beberapa kawasan sekitar Sabak sudah dinaiki air.

Keadaan itu dipercayai berkait dengan kedudukan kawasan yang sering mengalami takungan air selain sistem perparitan yang tidak sempurna.

Ini kawasan yang sudah dinaiki air

Antara kawasan terlibat ialah:

  • Kampung Pantai Sabak
  • Kampung Tebing Tinggi
  • Kampung Pulau Gajah
  • Kampung Kemumin
  • Kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Sabak
  • Masjid Lama Kampung Sabak
  • Pantai Nusuk, Kampung Sering
  • Kampung Gajah Mati
  • Kampung Pulau Belanga

“Paras air di beberapa lokasi mencecah kira-kira 0.5 meter. Pasukan bomba sudah bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan peningkatan paras air, terutama sekiranya berlaku fenomena air pasang besar malam ini.

“Pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Sabak juga telah dikenal pasti sebagai lokasi penempatan mangsa sekiranya keadaan memerlukan pemindahan,” katanya.

Keadaan di Taman Bendahara masih terkawal

Dalam perkembangan sama, tinjauan turut dilakukan di Taman Bendahara yang menempatkan kediaman pelajar Universiti Malaysia Kelantan.

Bagaimanapun, keadaan di kawasan itu dilaporkan masih terkawal.

Mohd Faizol berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan di kawasan berisiko bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya paras air meningkat.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, peka terhadap keadaan sekeliling dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!