Seramai 2,527 mangsa banjir daripada 776 keluarga masih berlindung di 25 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri setakat jam 12 tengah hari, hari ini.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), negeri yang masih terjejas ialah Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa, seramai 1,629 orang terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa, termasuk 273 warga emas.
Selain itu, terdapat 827 kanak-kanak serta 71 bayi yang turut ditempatkan di PPS.
Selangor merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,349 orang daripada 358 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS di Kuala Selangor.
Perak pula mencatatkan 1,107 mangsa daripada 397 keluarga yang berada di 14 PPS di daerah Larut, Matang dan Selama serta Hilir Perak.
Di Pulau Pinang, seramai 64 mangsa daripada 20 keluarga masih berlindung di sebuah PPS di Seberang Perai Selatan, membabitkan kawasan Sungai Bakap.
Sementara itu, Sarawak merekodkan jumlah paling sedikit dengan tujuh mangsa daripada sebuah keluarga yang masih ditempatkan di sebuah PPS di daerah Miri.
