Projek pembangunan hab pengangkutan bersepadu KT Sentral bernilai RM160 juta di Bukit Besar dijangka menjadi pemangkin kepada sistem pengangkutan awam yang lebih cekap di Kuala Terengganu.
Pembangunan itu bukan sahaja dirancang untuk menyatukan beberapa perkhidmatan pengangkutan di satu lokasi, malah berpotensi merangsang aktiviti ekonomi dan membuka peluang pekerjaan menerusi pembangunan komersial di kawasan sekitarnya.
Cadangan berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan Bandar Baharu Bukit Besar yang turut merangkumi pembinaan pejabat kerajaan, kemudahan awam dan infrastruktur jalan raya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, berdasarkan Pelan Strategik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) 2025–2029, KT Sentral dirancang sebagai terminal bersepadu untuk perjalanan dalam dan antara bandar.
Kemudahan itu turut dicadangkan bagi menyelaraskan perkhidmatan bas, teksi dan pengangkutan bot, selain menyediakan kemudahan sokongan kepada pengguna.
“Cadangan itu juga akan diselaraskan dengan keperluan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuala Terengganu, manakala pembangunan terminal berkenaan dicadangkan dilaksanakan menerusi kaedah penswastaan.
Hampir 90 hektar tanah untuk Bandar Baharu Bukit Besar
Menurut Wan Sukairi, pembangunan Bandar Baharu Bukit Besar menunjukkan kemajuan dari segi penyediaan tapak, pembangunan kemudahan kerajaan dan pembinaan infrastruktur.
“Hampir 90 hektar tanah sudah selesai melalui proses pengambilan balik tanah bagi menempatkan 12 lot pejabat kerajaan, terminal bersepadu, sebuah loji rawatan kumbahan berpusat, masjid berserta makam diraja serta rizab jalan,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Dr Mamad Puteh mengenai perkembangan terkini projek berkenaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 19 November.
Setakat ini, tiga lot pejabat agensi kerajaan sudah siap dan mula beroperasi.
Bagaimanapun, sebuah lagi pejabat kerajaan serta loji rawatan kumbahan berpusat masih dalam pembinaan.
MBKT juga menerima permohonan rundingan awal perancangan bagi tiga lot pembangunan, membabitkan dua lot pejabat agensi kerajaan dan satu lot masjid.
Jalan susur RM141.7 juta diluluskan bawah RMK13
Dari aspek infrastruktur, sebanyak 6.9 hektar jalan sudah siap dibina bagi menyokong pembangunan kawasan berkenaan.
Selain itu, cadangan pembinaan jalan susur utama ke Kuala Terengganu Bypass sepanjang 2.75 kilometer dengan keluasan kira-kira 15 hektar telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Projek itu menerima peruntukan RM141.7 juta bagi skop pengambilan balik tanah dan reka bentuk.
Dijangka lancarkan pergerakan penumpang
Pembangunan KT Sentral dijangka memudahkan pergerakan penumpang menerusi penyatuan beberapa perkhidmatan pengangkutan di satu lokasi, sekali gus membolehkan pertukaran antara mod pengangkutan dilakukan dengan lebih teratur.
Terminal bersepadu itu juga berpotensi mengurangkan pergerakan bas ke kawasan pusat bandar dan membantu melancarkan aliran trafik.
Bagaimanapun, kesan tersebut bergantung pada lokasi terminal, reka bentuk akses jalan serta penyelarasan laluan bas.
Selain manfaat kepada pengguna pengangkutan awam, pembangunan hab berkenaan dijangka merangsang aktiviti ekonomi melalui pembukaan premis komersial seperti kedai, restoran, ruang niaga dan perkhidmatan sokongan.
Ia juga berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, operasi terminal dan peruncitan.
Sumber: Terengganu Voice
