Taktik sepasang suami isteri menyamar sebagai anggota polis untuk memperdaya dan memeras ugut seorang warga emas akhirnya terbongkar apabila mereka dicekup penduduk kampung di Felda Rasau Kerteh 3, Dungun, Terengganu.
Pasangan itu ditangkap kira-kira jam 4 petang semalam selepas kembali ke rumah mangsa untuk menuntut wang tunai tambahan sebanyak RM50,000.
Kejadian bermula apabila mangsa, Mariani Ismail, 64, menerima panggilan video daripada suspek yang menyamar sebagai anggota pasukan keselamatan dengan memakai pakaian seragam polis.
Lebih meyakinkan, suspek turut menggunakan latar belakang visual yang menyerupai suasana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ketika menghubungi mangsa.
Warga emas serah tiga utas barang kemas
Akibat panik dan ketakutan selepas diugut serta dituduh dengan pelbagai dakwaan palsu, Mariani akhirnya menyerahkan tiga utas barang kemas miliknya yang bernilai ribuan ringgit pada 6 November lalu.
Bagaimanapun, selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, Mariani membuat laporan polis.
Laporan itu membolehkan ahli keluarga serta penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengesan pergerakan suspek.
Tindakan pasangan berkenaan yang kembali semula ke rumah mangsa untuk mendapatkan wang tunai RM50,000 akhirnya membawa padah.
Umpan suspek ambil wang dalam kereta
Suami mangsa, Zakaria Ibrahim berkata, suspek pada mulanya bertindak berhati-hati dan enggan masuk ke dalam rumah.
Sebaliknya, mereka mengarahkan wang tunai RM50,000 itu diletakkan di dalam peti surat di hadapan rumah.
"Suspek sebaliknya mengarahkan wang tunai RM50,000 berkenaan diletakkan di dalam peti surat di hadapan rumah saya.
"Bagaimanapun saya mengumpan suspek dengan meminta mereka mengambil sendiri wang itu di dalam kereta," katanya.
Helah itu berjaya apabila kedua-dua suspek segera dikepung penduduk kampung yang sudah bersiap sedia menunggu di sekitar kawasan rumah mangsa.
Barang kemas dipercayai digadai hampir RM13,000
Zakaria berkata, kedua-dua suspek warga asing itu dipercayai sudah menggadaikan barang kemas isterinya di sebuah kedai emas di Kuala Lumpur dengan nilai gadaian hampir RM13,000.
Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bagi membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro
