Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) tampil memberikan penjelasan berhubung isu perobohan dan kerja naik taraf hentian bas di sekitar bandar Kota Bharu yang sebelum ini mencetuskan perhatian masyarakat.
BERKAITAN: Pemuda Kecewa Hentian Bas Dirobohkan Selepas Dibersih Dan Dicat Secara Sukarela
Menerusi satu kenyataan rasmi, MPKB-BRI memaklumkan hampir 50 buah hentian bas di sekitar Kota Bharu terlibat dalam projek naik taraf dan baik pulih yang dijangka siap pada Disember 2026.
Projek berkenaan dilaksanakan menggunakan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain peruntukan tahunan MPKB-BRI.
Usaha itu turut diselaraskan dengan inisiatif pengindahan bandar bersama Jabatan Landskap Negara (JLN).
Lokasi dipilih berdasarkan keperluan pengguna
Menurut MPKB-BRI, perbincangan awal telah diadakan bersama pihak MyBus dan Konsortium E-Mutiara bagi mendapatkan maklum balas serta kerjasama berkaitan projek berkenaan.
Bagaimanapun, status pemilikan setiap hentian bas adalah berbeza, termasuk aset milik MPKB-BRI, persendirian dan sumbangan pihak tertentu.
Malah, terdapat juga hentian bas lama yang tidak lagi berada di laluan atau lokasi rasmi.
Justeru, pemilihan lokasi untuk kerja penambahbaikan dibuat berdasarkan aspek keselamatan, kesesuaian dan keperluan pengguna pengangkutan awam.
MPKB-BRI turut menjelaskan usaha penambahbaikan itu mengambil kira hentian bas yang bukan milik pihak berkuasa tempatan berkenaan.
Dakwa sudah hubungi Hiyaz Community
Mengulas isu membabitkan Hiyaz Community, MPKB-BRI memaklumkan pihaknya telah menghubungi komuniti berkenaan pada 26 Oktober 2026, iaitu sebelum projek naik taraf bermula.
Menurut kenyataan itu, makluman awal mengenai perancangan naik taraf telah disampaikan, selain pelawaan untuk mengadakan perbincangan dan menjalinkan kerjasama.
Bagaimanapun, MPKB-BRI berkata tiada maklum balas diterima sehingga kenyataan tersebut dikeluarkan.
Pihak berkuasa tempatan itu turut melahirkan rasa kesal terhadap hantaran di media sosial yang disifatkan boleh menimbulkan salah faham serta persepsi negatif terhadap usaha yang sedang dilaksanakan.
Terbuka kepada teguran dan cadangan
Dalam pada itu, MPKB-BRI menegaskan pihaknya sentiasa terbuka menerima teguran, aduan dan cadangan daripada masyarakat.
Kerjasama daripada individu, komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dialu-alukan bagi membantu menambah baik kemudahan awam di bandar berkenaan.
MPKB-BRI turut mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan fakta dan membuat pengesahan sebelum menyebarkan sesuatu maklumat bagi mengelakkan kekeliruan.
Menerusi projek berkenaan, MPKB-BRI komited meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna pengangkutan awam, selain menambah baik kemudahan awam secara berperingkat mengikut kemampuan peruntukan.
Usaha itu diharap dapat memperkukuh kerjasama semua pihak serta memelihara imej Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.
