Dasar penutupan premis perniagaan selama dua jam bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat di Terengganu sebenarnya sudah dilaksanakan sejak 2015.
Perkara itu dijelaskan Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera susulan kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mempersoalkan arahan penutupan premis perniagaan di negeri itu.
Tengku Haphiz berkata, dasar berkenaan diluluskan hasil persetujuan kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi memberi ruang kepada lelaki Islam menunaikan solat Jumaat.
“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. DAP perlu mengajar pimpinan mereka pepatah ini kerana kenyataan tersebut bersifat prejudis terhadap Terengganu tanpa memahami asas warta ini dilaksanakan.
“Untuk makluman Ahli Parlimen Kota Melaka, polisi itu diluluskan dan berjalan sejak 2015 hasil persetujuan kerajaan bersama MAIDAM bagi memberi ruang kepada semua rakyat Terengganu lelaki Muslim, termasuk pekerja beragama Islam, untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dasar Diteruskan Kerajaan Negeri
Menurut Tengku Haphiz, dasar itu diperkenalkan ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir Terengganu sebelum diteruskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, pelaksanaan tersebut bersesuaian dengan budaya serta kehidupan masyarakat di negeri berkenaan.
“Sepanjang dasar ini dilaksanakan, tidak pernah ada kenyataan daripada mana-mana masyarakat bukan Islam di Terengganu yang mempertikaikannya seperti dilakukan Ahli Parlimen DAP itu,” tegasnya.
Khoo Poay Tiong Jelaskan Isu Yang Dibangkitkan
Sementara itu, Khoo Poay Tiong menegaskan beliau tidak berniat menyentuh sensitiviti atau memperlekehkan amalan agama mana-mana pihak.
Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata, perkara yang dibangkitkannya adalah mengenai arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mewajibkan premis perniagaan menghentikan operasi antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat.
Beliau menjelaskan kebimbangannya tertumpu kepada penguatkuasaan menyeluruh yang didakwa turut melibatkan premis bukan Islam, termasuk kemungkinan dikenakan denda sehingga RM2,000, penjara atau pembatalan lesen perniagaan.
"Saya ingin menjelaskan bahawa saya menghormati Solat Jumaat dan amalan di Terengganu sudah lama diamalkan. Itu bukan isu yang saya bangkitkan.
"Isu yang saya bangkitkan ialah mengenai penguatkuasaan menyeluruh melalui surat rasmi MBKT yang mengarahkan semua premis perniagaan ditutup dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang.
"Ini termasuk premis bukan Islam dengan ancaman denda RM2,000, penjara atau pembatalan lesen perniagaan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mempersoalkan kesan sekiranya pendekatan sama dilaksanakan di Melaka yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
Poay Tiong berkata, dasar kerajaan boleh dibincangkan secara rasional tanpa dianggap sebagai penghinaan terhadap mana-mana agama.
Young Syefura Turut Beri Reaksi
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman turut mengkritik tindakan Poay Tiong yang mempersoalkan arahan MBKT itu.
"Hal Melayu Islam nak dicampuri, urusan negeri orang pun nak diatur. Pandai-pandailah baca keadaan.
"Kalau setiap kali masuk campur, orang makin menyampah dan makin menjauh. Mungkin sudah tiba masa untuk belajar jaga urusan sendiri," katanya menerusi hantaran di Threads.
MBKT Pernah Jelaskan Skop Pelaksanaan
Bagaimanapun, MBKT ketika menjelaskan pelaksanaan arahan sama pada Januari 2024 memaklumkan bahawa penutupan berkenaan membabitkan pasar raya, restoran, kedai makan dan gerai makanan milik orang Islam.
Premis makanan milik bukan Islam pula dibenarkan beroperasi seperti biasa, kecuali jika mempunyai pekerja Islam.
Kelonggaran juga boleh dipohon bagi premis yang diuruskan pekerja wanita.
Arahan penutupan selama dua jam itu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Sumber: Utusan, Berita Harian
